AM

Pelaksanaan DRG, Pelaburan Produk Tempatan Dan MyDigital ID Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

04/02/2026 08:06 AM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Status terkini pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) dalam industri kesihatan swasta, usaha meningkatkan penggunaan produk tempatan dalam pelaburan serta penggunaan MyDigital ID terhadap golongan rentan antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Rodziah Ismail (PH-Ampang) dalam sesi soal jawab lisan meminta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini pelaksanaan sistem DRG dalam industri kesihatan swasta serta langkah kawal selia dan pemantauan bagi memastikan pengendali insurans atau takaful tidak campur tangan dalam keputusan perubatan pakar dan doktor.

Pada sesi sama, Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengemukakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung langkah jangka pendek, sederhana dan panjang yang dirancang kerajaan bagi meningkatkan penggunaan produk tempatan dalam semua pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bagaimana kementerian memastikan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), penduduk luar bandar serta Orang Asli tidak terpinggir sekiranya perkhidmatan keselamatan dan imigresen bergantung kepada MyDigital ID sepenuhnya.

Usai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh kementerian-kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan