EKONOMI

Cadangan Tawaran Pengambilalihan Sunway Ke Atas IJM Ditutup 6 April

03/02/2026 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Cadangan tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd ke atas keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM Corp Bhd akan ditutup pada 6 April ini.

Menurut Sunway, pemegang saham IJM yang berminat mempunyai tempoh untuk mempertimbangkan tawaran itu bermula hari ini sehingga 5 petang, pada 6 April. 

Selain itu, syarikat berkenaan telah menamakan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Fortuna Gembira Enterprise, sebagai penerima saham tawaran bagi cadangan pengambilalihan tersebut.

“Tawaran ini bersyarat kepada penerimaan sah oleh Sunway pada atau sebelum tarikh tutup, membolehkan Sunway memegang secara agregat lebih daripada 50 peratus saham undian dalam IJM,” katanya dalam makluman kepada bursa saham.

Pada 12 Jan lepas, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

“Dengan mengandaikan cadangan tawaran itu diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu adalah kira-kira RM11.0 bilion, yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway,” menurut Sunway sebelum ini.

Katanya cadangan tawaran itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026.

Pada rehat tengah hari, kaunter Sunway dan IJM, masing-masing meningkat satu sen dan dua sen kepada RM5.77 dan RM2.70, dengan 6.68 juta dan 9.85 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan