PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa supaya menangani kelemahan prosedur operasi standard (SOP) dengan segera, khususnya untuk menutup ruang kawasan kelabu atau kurang jelas yang boleh membuka peluang kepada perlakuan rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata semakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelbagai SOP DBKL mendapati ada beberapa kelemahan yang perlu dibaiki segera supaya proses permohonan lesen dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara jelas dan telus.
“Selalunya apabila ada SOP yang kurang jelas, grey area (kawasan kelabu), itu membuka ruang untuk rasuah berlaku … apabila ada cadangan penambahbaikan, saranan itu tepat, maka kawasan itu bukan lagi grey area, kita akan laksanakan dengan cepat,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dengan SPRM di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang mendedahkan pengurusan dan pemantauan lemah dalam pelbagai kontrak DBKL termasuklah penganugerahan lesen perniagaan.
Antara kelemahan yang didakwa ialah ketiadaan jawatankuasa pemantau bagi kontrak bernilai tinggi dan jangka panjang, khususnya yang dianugerahkan kepada syarikat swasta, selain dakwaan pelantikan sebuah syarikat ternama untuk memantau lesen perniagaan DBKL.
Hannah berkata pelaksanaan penambahbaikan perlu dipercepat supaya orang awam memahami dengan jelas prosedur permohonan lesen serta tindakan penguatkuasaan yang akan diambil.
“Semua itu (perlu) jelas, jadi tidak ada ruang untuk interpretasi yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata SOP baharu DBKL yang ditambah baik akan turut dikongsi kepada orang awam supaya semua pihak dapat memahami peraturan serta tindakan yang akan diambil jika berlaku pelanggaran.
Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam amalan memberikan rasuah.
“Orang awam jangan terlibat dalam beri rasuah … anda tidak boleh di satu pihak menuduh pegawai, tetapi sebaliknya pula anda memberikan suapan kepada pegawai, perkara ini mesti dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata antara penambahbaikan yang sedang dirangka ialah mewujudkan SOP lebih jelas berkaitan penamatan dan penarikan balik lesen, termasuk pengurusan tapak bazar Ramadan.
Beliau berkata sebelum ini, tiada SOP yang jelas dan keputusan pembatalan lesen tidak boleh dibuat secara individu, sebaliknya perlu diputuskan melalui jawatankuasa.
“Untuk Bazar Ramadan 2026, kita telah tetapkan SOP dan kita akan mula menubuhkan jawatankuasa sebelum bazar mula beroperasi.
"Kekerapan (mesyuarat jawatankuasa) dua hari sekali, mungkin lebih kerap sekiranya terdapat banyak kesalahan termasuk penutupan, denda, kompaun dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial