EKONOMI

CGS International Securities Unjur Pertumbuhan Pinjaman 2026 Stabil

03/02/2026 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- CGS International Securities (CGSI) menjangkakan pertumbuhan pinjaman bank akan stabil pada 2026, dengan unjuran kadar pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus di belakang unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.6 peratus pada 2026. 

CGSI melalui satu nota penyelidikan hari ini menganggarkan pengembangan 5.0 hingga 5.5 peratus untuk pinjaman isi rumah dan 4.0 hingga 5.0 peratus bagi pinjaman perniagaan.

"Pertumbuhan pinjaman bank sebanyak 4.8 peratus semasa 2025 adalah di bawah pengembangan 5.5 peratus pada 2024. Kami tidak bimbang tentang pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan memandangkan ini adalah sejajar dengan pertumbuhan normal kira-kira 5 peratus, berdasarkan pandangan kami," katanya. 

Ia juga mengunjurkan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) yang mantap pada 1.3 hingga 1.4 peratus untuk perbankan pada 2026 berikutan nisbah GIL industri perbankan jatuh 7 mata asas pada 2025 kepada 1.37 peratus semasa penghujung Disember 2025.

Sementara itu, berdasarkan petunjuk daripada penurunan yang agak besar iaitu sebanyak RM1.56 bilion dalam jumlah peruntukan untuk industri perbankan pada suku keempat 2025, CGSI berpendapat peruntukan kerugian pinjaman (LLP) bank berkemungkinan merosot dari suku ke suku kepada RM800 juta hingga RM900 juta pada suku keempat 2025 (termasuk peruntukan untuk pelaburan kewangan) daripada paras RM960 juta yang dicatatkan pada suku ketiga 2025.

“Bagaimanapun, ini masih lebih tinggi berbanding RM771.1 juta yang dicatatkan pada suku keempat 2024 (dan dengan itu, peningkatan dari tahun ke tahun dalam suku keempat 2025),” katanya. 

CGSI mengekalkan pendirian 'wajaran tinggi' ke atas bank-bank Malaysia, berdasarkan pemangkin penarafan semula yang berpotensi untuk hapus kira dalam tindanan pengurusan, peningkatan dalam margin faedah bersih pada unjuran 2026 dan jangkaan untuk tambahan dalam nisbah pembayaran dividen bagi kebanyakan bank.

"Potensi risiko penurunan adalah kemerosotan material dalam pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset. Maybank menjadi pilihan utama kami untuk sektor tersebut," katanya.

RHB Investment Bank Bhd berkata walaupun terdapat sedikit penyederhanaan dalam pertumbuhan pinjaman dari tahun ke tahun kepada 4.8 peratus, pengembangan ini memang dijangkakan.

“Melihat ke hadapan, aliran pinjaman perniagaan yang sihat, ditambah dengan semua penangguhan berkaitan komitmen pada 2025, semuanya dinyatakan  kepada peningkatan pada pertumbuhan pinjaman 2026.

"Saranan sektor kami adalah berdasarkan kepada gabungan aliran masuk mudah tunai, latar belakang makroekonomi yang positif, momentum pendapatan yang lebih baik termasuk hasil dividen yang menarik serta potensi untuk pengurusan modal," katanya. 

RHB Investment Bank telah mengekalkan panggilan 'wajaran tinggi' ke atas sektor ini,  pilihan utamanya adalah Hong Leong Bank, CIMB dan Public Bank.

Selepas pertumbuhan pinjaman 2025 meleset dari anggarannya, Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan ia akan berkembang dalam lingkungan 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2026, disokong oleh kesan asas yang menggalakkan dan permintaan domestik yang kukuh.

“Pertumbuhan pinjaman dijangka kekal menghampiri paras semasa dalam tempoh terdekat memandangkan asas tinggi pada awal 2025. Permintaan bermusim menjelang Tahun Baharu Cina pada Februari dan Aidilfitri menjelang Mac sepatutnya memberikan sokongan.

"Tinjauan secara keseluruhan kekal optimistik dengan berhati-hati disebabkan permintaan domestik yang berdaya tahan akan menyokong pertumbuhan kredit," katanya.

Kenanga ketika mengulas mengenai tinjauan kadar dasar semalaman (OPR) berkata tiada perubahan pada pandangan kadar dasarnya.

"Kami menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus sepanjang 2026, kecuali jika ada kejutan global yang tidak dijangka. Dengan pertumbuhan KDNK yang stabil dan inflasi terurus, BNM mempunyai ruang untuk mengutamakan kestabilan kewangan dalam keadaan ketidaktentuan global,"  katanya lagi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan