KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menasihatkan pelanggan dan orang ramai supaya berwaspada terhadap sebarang panggilan mencurigakan yang mengaku daripada syarikat utiliti berkenaan.
TNB mengeluarkan kenyataan itu susulan kejadian seorang pelanggan diperdaya individu melalui panggilan telefon dan memperkenalkan diri sebagai warga kerja syarikat berkenaan.
TNB menerusi hantaran di Facebook TNB CareLine memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan bersimpati dengan kejadian penipuan melibatkan panggilan telefon yang dilaporkan berlaku di Terengganu dan sedang meneliti maklumat berkaitan sebelum bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi tujuan siasatan lanjut.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat atau rekod akaun melalui telefon tanpa pengesahan.
Sebagai langkah keselamatan, TNB meminta pelanggan yang menerima panggilan meragukan supaya menghubungi TNB CareLine di 1300-88-5454 bagi mendapatkan pengesahan.
Terdahulu, seorang pesara kerajaan wanita berusia 71 tahun dari Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu kerugian RM50,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai TNB pada 29 Jan lepas, dengan mendakwa nama mangsa disalahgunakan untuk pendaftaran meter TNB yang diubah suai bagi kerja mencuri elektrik di Pahang, sebelum disambungkan pula kepada rakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.
Azli berkata mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang telah membuat pindahan wang berjumlah RM50,000 ke lima akaun berbeza seperti diarahkan suspek sebelum kemudiannya menyedari ditipu berikutan suspek gagal dihubungi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial