EKONOMI

Wasco Diiktiraf Atas Kepimpinan Kewangan Mampan Pada Anugerah Kelestarian

30/01/2026 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga terkemuka Wasco Bhd (Wasco) memenangi kategori kewangan dan pelaburan lestari di Anugerah Kelestarian Forward Faster (FFSA) 2026, sekali gus menonjolkan kepimpinan kumpulan itu dalam menerapkan kemampanan ke dalam strategi kewangannya.

Wasco berkata anugerah anjuran Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) itu, dianugerahkan bagi Rangka Kerja Kewangan Peralihan Mampan (STFF), iaitu antara yang pertama di ASEAN dalam mengendalikan taksonomi ASEAN untuk kewangan mampan dalam struktur pembiayaan korporat.

Katanya, anugerah itu mencerminkan penekanan serantau yang semakin meningkat terhadap amalan peralihan yang boleh dipercayai dan diukur, serta komitmen kemampanan dijangka disepadukan secara langsung mengenai cara organisasi mengumpul, menstruktur dan menguruskan modal. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusannya, Giancarlo Maccagno berkata pengiktirafan itu mengesahkan kepercayaan kumpulan bahawa kelestarian mesti diterapkan ke dalam cara syarikat membiayai pertumbuhannya. 

“Menerusi STFF, kami telah mewujudkan rangka kerja yang menghubungkan peruntukan modal dengan hasil alam sekitar yang boleh diukur, mengukuhkan keyakinan pelabur sambil menyokong peralihan tenaga,” katanya dalam satu kenyataan. 

Pengiktirafan kepada Wasco itu berlaku ketika ekonomi ASEAN semakin menerima pakai piawaian yang sejajar dengan taksonomi, menekankan cara syarikat menterjemahkan rangka kerja dasar serantau ke dalam aplikasi kewangan yang praktikal.  

Sementara itu, STFF yang dibangunkan menerusi kerjasama erat antara fungsi kemampanan dan kewangan Wasco, menyediakan pendekatan berstruktur bagi menyelaraskan peruntukan modal dengan objektif alam sekitar dan peralihan, selain disokong oleh kriteria kelayakan yang telus serta sasaran prestasi yang boleh diukur. 

“Menerusi rangka kerja ini, Wasco berjaya memperoleh pinjaman berkaitan kemampan bernilai US$25 juta, menukar kemudahan konvensional dan Islam sedia ada kepada instrumen pembiayaan berkaitan kemampanan, dan menetapkan sasaran prestasi kemampanan sejajar dengan komitmennya untuk mencapai pelepasan karbon skop 1 dan skop 2 sifar bersih menjelang 2026.

“Rangka kerja ini memberi pemberi pinjaman dan pihak berkepentingan kejelasan yang lebih baik mengenai bagaimana komitmen kemampanan diterjemahkan kepada prestasi kewangan dan tadbir urus,” tambah syarikat itu. 

Pengiktirafan itu adalah susulan peningkatan Penarafan FTSE Russell ESG Wasco baru-baru ini kepada 4.4, yang meletakkan kumpulan itu pada persentil ke-98 dalam kalangan rakan sejawatannya dalam peralatan dan perkhidmatan minyak. 

Ini diterajui oleh skor tema sosial yang mendahului sektor sebanyak 5.0, menyediakan penanda aras bebas yang mengukuhkan kredibiliti amalan kemampanan Wasco merentasi tadbir urus, operasi dan pendedahan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan