AM

Kapal Kelas Kedah TLDM Bakal Dilengkapi Sistem Pelancar Peluru Berpandu SSM

29/01/2026 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan meluluskan pemasangan sistem pelancar peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) ke atas kesemua enam kapal Kelas Kedah.

Kementerian Pertahanan menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan pada masa ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melaksanakan tinjauan harga bagi mengenal pasti kos sebenar keseluruhan projek.

“Pemasangan Naval Strike Missile itu dirancang secara berfasa dan berperingkat, mengambil kira kesiapsiagaan teknikal kapal, keperluan operasi serta implikasi kos.

Ad Banner

“Pada peringkat awal, penilaian dan integrasi keupayaan ini memberi tumpuan kepada kapal utama sebagai platform perintis, sebelum dipertimbangkan peluasan kepada kapal-kapal lain dalam kelas sama, tertakluk kepada keberkesanan pelaksanaan, keperluan operasi TLDM dan kelulusan peruntukan kerajaan,” menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai usaha pemasangan peluru berpandu Naval Strike Missile di atas kapal milik TLDM kelas Kedah di bawah Belanjawan 2026 dan apakah melibatkan semua kapal kelas Kedah atau hanya di atas Kapal KD Kedah sahaja.

Kementerian itu menyebut pendekatan berperingkat itu sebagai usaha untuk memastikan peningkatan keupayaan tempur TLDM dilaksanakan secara berhemah, berkeutamaan dan memberikan nilai terbaik kepada kerajaan, selaras dengan keperluan keselamatan maritim dan kemampuan fiskal negara.

Enam kapal dalam Kelas Kedah yang juga dikenali sebagai Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV) ialah KD Kedah, KD Pahang, KD Perak, KD Terengganu, KD Kelantan dan KD Selangor.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan