KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Itali berhasrat memperkukuh peranan strategik sistem pameran perdagangannya dalam memacu perdagangan global dengan melancarkan Kalendar Pameran Perdagangan Itali 2026.
Menteri Luar Itali Antonio Tajani mengumumkan Kalendar Pameran Perdagangan itu pada Selasa, yang menyenaraikan 878 acara pameran perdagangan yang dijadualkan berlangsung di seluruh Itali pada 2026, termasuk 276 pameran antarabangsa dan 202 pameran nasional.
Menurut kenyataan media Kedutaan Itali di Malaysia, kalendar itu memaparkan pameran perdagangan antarabangsa paling penting merangkumi sektor produktif utama dan menggariskan komitmen Itali dalam menyokong eksport dan pengantarabangsaan syarikat-syarikatnya.
Sektor makanan, minuman dan hospitaliti mewakili bahagian terbesar (12 peratus), diikuti oleh tekstil, pakaian dan fesyen (11 peratus), selain sukan, hobi, hiburan dan seni.
Sektor penting lain termasuk teknologi dan mekanik (sembilan peratus), pertanian, perhutanan dan ternakan (lapan peratus), serta barang kemas, jam tangan dan aksesori (tujuh peratus).
Pameran perdagangan menjadi asas ekosistem ekonomi Itali, berfungsi sebagai platform penting untuk mempromosikan rantaian bekalan Made-in-Italy di pasaran antarabangsa.
“Kalendar Pameran Perdagangan 2026 mengukuhkan kedudukan Itali sebagai hab utama pameran antarabangsa dan rakan kongsi utama bagi perniagaan di seluruh dunia, termasuk di Asia Tenggara yang ingin menembusi pasaran Eropah dan global,” menurut kenyataan itu.
Itali kini berada di kedudukan keempat dunia bagi ruang pameran tertutup, dengan keluasan 2.5 juta meter persegi, di belakang China, Amerika Syarikat dan Jerman.
Pameran perdagangan Itali mencerminkan struktur perindustrian negara itu yang berorientasikan eksport, dengan tumpuan kepada lima sektor strategik: Agromakanan; Pembinaan dan Perabot; Fesyen dan Kecantikan; Teknologi; serta Industri Senggang.
Secara keseluruhan, sektor-sektor ini menyumbang 63 peratus daripada nilai eksport Itali, mencerminkan penjajaran kukuh dengan trend permintaan global.
Pada 2025, Itali menganjurkan 915 pameran perdagangan, kebanyakannya memfokuskan perniagaan keperniagaan (B2B), yang menarik lebih 17 juta pengunjung.
Menurut kenyataan itu, Agensi Perdagangan Itali (ICE) di bawah Kementerian Luar memainkan peranan utama dalam mempromosikan eksport melalui pameran perdagangan.
Tahun lalu, ICE menganjurkan kira-kira 245 pavilion nasional Itali di pameran perdagangan luar negara yang membolehkan penyertaan 6,560 syarikat Itali, selain memudah cara 125 pavilion luar negara yang menyertai pameran perdagangan di Itali yang menarik 11,500 pengusaha asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial