AM

Pengiktirafan MBOR Meriahkan Kempen Tahun Baharu Cina Sunway Big Box Retail Park 

28/01/2026 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kempen Tahun Baharu Cina 2026 di Sunway Big Box Retail Park di Iskandar Puteri, Johor, dimeriahkan lagi apabila replika kuda terbesar yang dihasilkan daripada angpau origami menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR). 

Replika setinggi kira-kira 4.5 meter yang ditempatkan di Main Concourse pusat beli-belah berkenaan,  dilancarkan sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan itu yang bertemakan ‘Galloping into Prosperity’.

Menurut Sunway Big Box Retail Park dalam satu kenyataan, replika itu menerima pengiktirafan MBOR untuk kategori Replika Kuda Terbesar Dihasilkan daripada Angpau Origami, yang pertama seumpamanya di Malaysia dan dipercayai merupakan struktur origami berbentuk kuda terbesar pernah dibina, berdasarkan penyelidikan pasukan penganjur.

Pengurus Besar Kanan Sunway Malls (Wilayah Selatan) Dr KS Wong berkata kempen itu menumpukan kepada kelestarian dan kerjasama komuniti.

“Tahun Baharu Cina ialah masa untuk pembaharuan, harapan dan kebersamaan. Tahun ini, kami mahu menghasilkan sesuatu yang bererti, bukan sekadar memberi impak visual, tetapi bermakna dari segi cara ia direalisasikan,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata replika kuda itu dihasilkan menggunakan angpau kitar semula, melambangkan keberkatan dan kemakmuran, di samping menggalakkan sambutan perayaan yang lebih mesra alam.

"Ribuan kepingan origami yang membentuk struktur itu dihasilkan secara kolektif selama lebih 500 jam sepanjang 21 hari. Rekod itu milik seluruh komuniti yang terlibat,” kata Wong.

Projek itu melibatkan institusi pendidikan termasuk Raffles University, SJK (C) Cheah Fah, SJK (C) Foon Yew 1, SK Pengkalan Rinting dan Starnamics Learning Centre, dengan sokongan JCI Junior Chamber International South Key.

Majlis pengiktirafan itu dihadiri wakil daripada Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Majestic Tourism Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, serta MBOR.

Bersempena dengan kempen itu, Sunway Big Box Retail Park menganjurkan pelbagai aktiviti perayaan termasuk bazar Tahun Baharu Cina, persembahan kebudayaan dan bengkel interaktif, selain World of Exotics dari 29 Jan hingga 16 Feb serta penampilan khas kuda sebenar.

Menurut kenyataan itu, sepanjang kempen yang berlangsung hingga 22 Feb itu, para pembeli berpeluang untuk menebus hadiah menarik, termasuk angpau bersama beras wangi, baucar beli-belah serta set mangkuk, dengan perbelanjaan minimum antara RM150 hingga RM500.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan