KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- GreenRE Sdn Bhd dan Qube Integrated Malaysia hari ini memeterai perjanjian strategik untuk menganjurkan International Sustainability Week (ISW) 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama dua hari bermula 10 Sept.
Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi GreenRE Datuk Seri FD Iskandar dan Pengerusi Eksekutif Qube Richard Teo dengan penganjuran ISW 2026 akan bertemakan “Daripada Pensijilan kepada Transformasi: Membina Bersama Masa Depan Pelepasan Karbon Sifar Bersih”.
Qube dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu menetapkan ISW 2026 sebagai platform nasional berimpak tinggi yang relevan untuk rantau ini dengan tumpuan kepada usaha mempercepat penyampaian serta pelaksanaan kemampanan merentas persekitaran binaan dan bandar selain menyokong pertukaran pengetahuan dan kerjasama rentas pasaran.
“ISW 2026 dianjurkan untuk pemegang taruh yang terlibat secara langsung dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan dan pengoperasian persekitaran binaan termasuk penggubal dasar, pemaju, kontraktor, arkitek, jurutera, perancang, penyedia penyelesaian dan pihak berkuasa bandar,” menurut kenyataan itu.
Program yang menampilkan penceramah, peserta selain pempamer dari Malaysia dan rantau ini serta pasaran antarabangsa, mencerminkan cabaran serta peluang dalam pembangunan bandar mampan, akan merangkumi dua komponen utama yang saling melengkapi, iaitu International Green Build Conference (IGBC) dan GreenScape: International Green Innovation Exhibition.
“IGBC dan GreenScape secara bersama-sama menghubungkan dialog persidangan dengan aplikasi praktikal, menggalakkan penglibatan industri, menjalin kerjasama dan membangunkan projek serta menyokong kolaborasi rentas sempadan ke arah peralihan kepada masa depan pelepasan karbon sifar bersih,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, FD Iskandar berkata masa depan kelestarian terletak pada prestasi, iaitu hasil yang boleh diukur, disahkan dan diulang pada skala lebih besar, dan sebagai badan pensijilan bangunan hijau Malaysia yang diiktiraf, GreenRE berbangga menjadi penganjur bersama ISW 2026.
“ISW 2026 dirangka sebagai platform perkongsian pengetahuan, jaringan strategik peringkat tinggi serta penglibatan yang memudah cara kerjasama dan peluang bagi mempercepat penyampaian hasil kelestarian yang praktikal dan berdaya pelaburan dalam persekitaran binaan,” katanya.
Beliau berkata dengan menghimpunkan penggubal dasar, pemaju, institusi kewangan dan peneraju teknologi, ISW menyediakan forum berimpak tinggi dengan gabungan piawaian, inovasi dan modal menterjemahkan komitmen kelestarian kepada projek yang sedia dilaksanakan serta mampu menjana nilai jangka panjang, daya tahan dan impak serantau.
Sementara itu, Teo berkata walaupun komitmen terhadap kemampanan semakin kukuh dalam kalangan kerajaan dan industri, namun pelaksanaannya masih menjadi cabaran utama.
“ISW diwujudkan untuk membawa pakar menumpukan kepada bagaimana kemampanan dapat dilaksanakan secara praktikal dalam bangunan, pembangunan dan bandar. Sebagai penganjur, peranan Qube ialah menyusun secara khusus dan menyediakan platform berstruktur yang menyokong peralihan daripada perbincangan kepada tindakan,” katanya.
Teo berkata pihaknya menyasarkan kehadiran antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung pameran dan kira-kira 150 syarikat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial