JENAYAH & MAHKAMAH

Rampasan Dadah 2025 Cecah RM3.19 Bilion, Lonjak Lapan Kali Ganda

27/01/2026 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mencatat kejayaan luar biasa sepanjang tahun lepas apabila merekodkan nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun mencecah RM3.19 bilion.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata jumlah rampasan berkenaan melonjak hampir lapan kali ganda, berbanding RM388 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan JSJN dalam menyekat bekalan dadah daripada sampai kepada masyarakat, sekali gus menyelamatkan generasi masa kini dan akan datang.

"Alhamdulillah, bagi tempoh Januari hingga Dis 2025, JSJN telah mencatat pelbagai kejayaan yang amat memberangsangkan dengan peningkatan signifikan dalam beberapa aspek utama.

"Menerusi operasi yang digerakkan tahun lepas, JSJN berjaya melumpuhkan 270 sindiket dengan penahanan 737 ahli sindiket dadah berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 236 sindiket dan 714 tangkapan," katanya dalam ucapan bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Selain itu, Mohd Khalid turut mendedahkan kejayaan pembongkaran makmal haram yang meningkat kepada 21 makmal pada 2025 berbanding 12 makmal pada 2024.

Bagi melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket, beliau berkata JSJN juga berjaya menyita aset bernilai kira-kira RM144 juta dan pelucuthakan harta hampir RM31 juta sepanjang tempoh berkenaan.

"Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 2024 yang mencatat sitaan kira-kira RM100 juta dengan pelucuthakan hampir RM14 juta, menegaskan keberkesanan strategi dalam menjejaskan keupayaan operasi sindiket secara menyeluruh," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 merekodkan penurunan 27 peratus, iaitu 811 tangkapan berbanding 1,111 tangkapan sebelumnya.

Penurunan jumlah itu katanya, mencerminkan keberkesanan pendekatan pencegahan serta kejayaan melumpuhkan sindiket utama yang juga penyumbang besar kepada statistik tangkapan sebelum ini.

Mohd Khalid pada majlis sama turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 26 pegawai polis dan pegawai awam yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan