TANAH MERAH, 27 Jan (Bernama) -- Apa yang bermula sebagai jualan biasa bertukar luar jangka apabila 230 kilogram daging lembu dara habis terjual dalam tempoh hanya tiga jam pada Program Jualan Agro MADANI di Pekarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lanas Jedok di sini.
Pengusaha ternakan, Nor Asima Ghazali, 43, mengakui tidak menjangka sambutan luar biasa itu apatah lagi pada mulanya dia dan suami, Mohd Johan Mustapha, 43, hanya menyembelih seekor lembu dara betina untuk dijual kepada orang ramai sebaik gerai dibuka pada 8.30 pagi.
Ahli PeladangNita PPK Lanas Jedok itu berkata lebih 110 kilogram (kg) daging daripada lembu pertama habis dijual dalam masa singkat, mendorong suaminya untuk menyembelih seekor lagi lembu dara betina berusia dua tahun dengan hasil daging melebihi 120 kilogram.
“Saya menjual daging, tulang, perut dan hati pada harga RM20 sekg berbanding harga biasa antara RM25 hingga RM35 sekg mengikut pasaran semasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Wanita berasal dari Kampung Lawang di sini itu berkata penyertaan mereka dalam Program Jualan Agro MADANI adalah bagi membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, selain memberi peluang kepadanya menjual hasil ternakan secara terus kepada pengguna.
“Ini kali pertama saya terlibat dalam jualan seumpama ini. Memang seronok melihat sambutan penduduk setempat yang datang membeli daging pada harga murah.
“Untung dan rugi itu adat berniaga tetapi yang lebih penting hari ini saya berniaga sambil membantu orang ramai dan berniat untuk bersedekah,” katanya.
Penduduk, Hassan Mat Soh, 55, berkata program jualan seperti itu amat membantu penduduk kampung dalam mengurangkan kos perbelanjaan harian, terutama golongan yang berpendapatan tidak menentu.
“Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai buruh binaan, penoreh getah dan petani. Program seperti ini sedikit sebanyak membantu kami menjimatkan perbelanjaan.
“Saya berharap lebih banyak agensi bekerjasama dengan peniaga untuk menganjurkan program jualan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar PPK Lanas Jedok Mohd Harmie Nipa berkata Program Jualan Agro MADANI adalah inisiatif kerajaan bagi meringangkan beban kos sara hidup rakyat melalui penambahbaikan rantaian bekalan agromakanan.
Beliau berkata program itu dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“Jualan Agro MADANI di PPK Lanas Jedok ini adalah yang keempat dalam tempoh dua tahun dan program pertama bagi 2026.
“Program ini melibatkan penjualan produk segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan dan daging serta produk berasaskan pertanian lain,” katanya.
Mohd Harmie berkata program berkenaan menawarkan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran bagi komoditi terpilih.
“Peserta yang terlibat terdiri daripada ahli Peladang, Kumpulan PeladangNita dan Peladangmuda PPK Lanas Jedok,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial