JENAYAH & MAHKAMAH

Doktor Rugi RM285,000, Terperdaya Dengan "Phone Scam"

27/01/2026 09:55 AM

KUANTAN, 27 Jan (Bernama) -- Seorang doktor mengalami kerugian RM285,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai wakil syarikat utiliti terkemuka di Malaysia dan pegawai polis. 

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan daripada individu terbabit yang mendakwa mangsa telah terlibat dalam kes ubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram dan aktiviti penipuan digital.

“Mangsa telah diarahkan untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian. Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan bersama dengan pihak bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki itu telah membuat 12 transaksi pindahan wang menggunakan simpanan peribadi dan pinjaman bank ke tujuh akaun bank berbeza, selain menyerahkan 35 resit Razer Gold kepada suspek.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan dan gagal menghubungi suspek,” katanya. 

Sehubungan dengan itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak panik apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali, khususnya yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa atau institusi kewangan. 

Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan