JENAYAH & MAHKAMAH

Arkitek Penguasa JKR Didakwa Kemuka Tuntutan Elaun Perjalanan Palsu

26/01/2026 08:49 PM

ALOR SETAR, 26 Jan (Bernama) -- Seorang arkitek penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu dua tahun lepas.

Suhaili Othman, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Berdasarkan pertuduhan, Suhaili sebagai ejen kepada JKR Kedah didakwa dengan niat hendak memperdayakan JKR Kedah menerusi suatu dokumen tuntutan elaun perjalanan berjumlah RM894.50 bagi menghadiri mesyuarat di Melaka pada Jun 2024 dengan menggunakan kenderaan sendiri, sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.

Bagi pertuduhan kedua, Suhaili didakwa memperdayakan JKR Kedah dengan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan Julai 2024 berjumlah RM600 bagi menghadiri Sesi Perbincangan Bersama Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) melalui tuntutan gantian kapal terbang dengan menggunakan kenderaan sendiri, sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Arkitek JKR Kedah, Kota Setar di sini pada 8 Julai dan 5 Ogos 2024.

Suhaili didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Atika Ab. Rashid manakala Suhaili diwakili peguam Yusmadi Yusoff dan Durratul ‘Ain Mahmud Morshidi.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula 4 Mac ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan