AM

PJRM Parlimen Putrajaya Mula Di Kementerian Komunikasi, Bantu Penjawat Awam Berjimat

26/01/2026 07:23 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bagi Parlimen Putrajaya bermula hari ini dengan penganjuran sulung diadakan di Anjung Kementerian Komunikasi di sini, sekali gus membawa inisiatif penjimatan kos sara hidup terus ke kawasan tumpuan penjawat awam.

Penganjuran selama dua hari hingga esok itu menyaksikan penjawat awam daripada pelbagai kementerian mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah tanpa perlu meninggalkan kawasan tempat kerja masing-masing.

Bagi Pembantu Tadbir Kementerian Komunikasi Norsuhana Mamat Hussein, 41, pendekatan membawa PJRM ke pekarangan kementerian dilihat memudahkan penjawat awam mengurus keperluan harian di tengah kesibukan tugas, selain menjimatkan masa dan perbelanjaan.

"Jualan ini juga membolehkan saya berjimat serta membuat persiapan menjelang Ramadan tidak lama lagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

  Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Mohamed Khairudin Abdul Rashid, 43, pula berpandangan penganjuran inisiatif tersebut memberi kelegaan kepada penjawat awam dan keluarga, khususnya dalam persediaan menjelang Ramadan.

"Harga yang ditawarkan sangat murah dan benar-benar membantu kami sekeluarga berjimat, terutama dalam keadaan ekonomi yang sangat mencabar ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengawal Keselamatan Swasta Kementerian Komunikasi Muhammad Aidil Haikal Marzuki menyifatkan penganjuran JPRM sebagai satu inisiatif yang baik, namun masih terdapat ruang penambahbaikan dari segi pelaksanaannya.

Beliau berkata harga barangan yang ditawarkan adalah pada tahap sederhana dan mencadangkan agar lebih banyak produk ditawarkan.

PJRM dilancarkan pada 11 Jan 2023 sebagai satu daripada inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Payung RAHMAH.

Melalui program itu, pengguna dapat menikmati penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

Pelaksanaan PJRM meliputi semua 600 Dewan Undangan Negeri di seluruh negara serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan