IPOH, 26 Jan (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan pelbagai ujian keselamatan di Jambatan Jalan Tun Abdul Razak sebelum memutuskan ia selamat digunakan pada sambutan Thaipusam, Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak Datuk A. Sivanesan berkata jambatan itu yang dalam proses baik pulih hanya boleh dilalui kenderaan melibatkan aktiviti perarakan kavadi dari 31 Jan sehingga 2 Feb.
“MBI telah bersetuju jambatan itu dibuka untuk sementara waktu dengan syarat hanya kenderaan tidak melebihi tiga tan yang membawa kavadi dibenarkan melalui jambatan itu.
“Sekiranya ada kenderaan awam lain menggunakan jambatan itu, polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Thaipusam di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sebelum ini, Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah telah memberi kebenaran menggunakan laluan di jambatan itu bagi sambutan Thaipusam dengan pematuhan syarat tertentu
Dalam pada itu, Sivanesan berkata kira-kira 500,000 penganut Hindu dan pengunjung termasuk pelancong asing dijangka mengunjungi Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di sini sempena Thaipusam.
Beliau berkata Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran dijangka menghadiri sambutan itu pada kira-kira 10 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial