AM

Nenek Maut Dalam Kebakaran, Individu Penting Menyatukan Keluarga - Cucu

26/01/2026 07:23 PM

KOTA BHARU, 26 Jan (Bernama) -- “Kami bukan sahaja kehilangan seorang nenek malah individu penting yang menjadi tonggak menyatukan keluarga,” menurut Ahmad Bukhari Anton, 33, cucu kepada wanita warga emas yang maut selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Jalan Tok Guru di sini semalam.

Ahmad Bukhari berkata neneknya Allahyarham Fatimah Mat Said, 89, yang pernah berkerja sebagai tukang masak di Istana Pahang, amat disayangi oleh setiap ahli keluarga dan rumah yang musnah terbakar itu adalah tempat mereka sekeluarga berkumpul setiap kali hari raya.

“Selepas ini kami semua pasti akan merindui nenek, terutama aroma masakan ayam kurma hasil air tangannya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Terdahulu, jenazah warga emas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Merbau kira-kira 10 pagi tadi dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga dan kenalan.

Mengulas insiden tragis itu, Ahmad Bukhari yang menetap di Pengkalan Chepa berkata dia menerima berita mengenai kebakaran itu melalui panggilan telefon daripada isterinya ketika berada di tempat kerja.

“Saya segera ke rumah nenek dan setiba di lokasi, saya melihat anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan api. Luluh hati  saya apabila nenek ditemukan di bawah runtuhan zink dan telah meninggal dunia,” katanya. 

Semalam, Bernama melaporkan seorang warga emas berusia 89 tahun, Fatimah Mat Said, ditemukan rentung selepas rumah kediamannya di Jalan Tok Guru, di sini, musnah terbakar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan