MELAKA, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 3,270 komputer riba sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diserahkan kepada 38 Sekolah Dalam Kem (SDK) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha berterusan kerajaan memperkasakan ekosistem pendidikan dan memperkukuh akses teknologi seiring Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan majlis penyerahan komputer kepada lima SDK di Kem Terendak dan Kem Sungai Udang itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam lawatan kerjanya ke kem berkenaan hari ini.
Sekolah terlibat ialah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1, SK Kem Terendak 2 dan SK Kem Gerak Khas.
Turut hadir Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Azhan Md Othman, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.
Menteri juga menyempurnakan simbolik penyampaian peruntukan senggara RM25 juta dan alat bantu mengajar serta menyampaikan bantuan pendidikan kepada anak-anak warga ATM yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan penghidap penyakit kronik.
Mohamed Khaled turut diberikan taklimat komprehensif mengenai pelaksanaan Projek Pembangunan Hospital ATM dan naik taraf sistem retikulasi air oleh Pengarah Cawangan Khidmat Teknikal, Bahagian Pembangunan MINDEF Hanafi Abdullah.
Menurut kenyataan itu, hospital berkenaan yang akan menyediakan perkhidmatan perubatan am, kepakaran dan pergigian, dengan sebahagian kemudahan dibuka kepada komuniti setempat, dijangka siap pada Januari 2029.
Kenyataan itu memaklumkan projek naik taraf sistem retikulasi air dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah bagi menangani isu bekalan air di Kem Terendak.
Mohamed Khaled turut meninjau tapak Program Ekonomi MADANI oleh 10 Briged Para yang menunjukkan pencapaian positif menerusi Projek Cendawan Urban Farming.
“Projek berkenaan memberikan fokus terhadap pembangunan keusahawanan agroteknologi dalam kalangan anggota Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) membabitkan lapan peserta dengan bimbingan akademik pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah, Melaka dan Pulau Pinang bagi memastikan pemindahan ilmu dan kemahiran dilaksanakan secara berstruktur,” menurut kenyataan itu.
Menteri turut melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Jalan Kenanga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial