AM

UTM Laksana Perubahan Struktural Menerusi Pelan Strategik ASCEND 2030

26/01/2026 04:12 PM

JOHOR BAHRU, 26 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini melancarkan Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 sebagai hala tuju baharu universiti itu bagi tempoh lima tahun akan datang yang akan melibatkan perubahan struktural institusi.

Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata pelan baharu itu selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Beliau berkata aspirasi pelan berkenaan antaranya meletakkan sasaran UTM antara 100 universiti terbaik dunia menjelang 2030.

“Perubahan kita bawa hari ini bukan bersifat kosmetik atau retorik. Ia perubahan struktural yang menyentuh cara universiti berfikir, berfungsi dan membuat keputusan demi memastikan UTM kekal relevan, berdaya saing dan bermakna kepada kemanusiaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata UTM ASCEND 2030 merupakan satu-satunya pelan strategik universiti dengan semua Pusat Tanggungjawab melaksanakan Pelan Tindakan ASCEND secara bersepadu.

“Perubahan struktural bukan lagi pilihan. Ia adalah tuntutan strategik untuk memastikan UTM bukan sekadar cemerlang dari segi pencapaian, tetapi kukuh dari segi makna, nilai dan impak kepada masyarakat," katanya.

UTM ASCEND 2030 memfokuskan empat teras Keunggulan Terbilang iaitu Lonjakan Kebitaraan, Bakat Global, Kemampanan dan Kelestarian serta Kemanusiaan dan Kesejahteraan.

Pelan berkenaan turut menetapkan 10 Desired States merangkumi kedudukan global, kebolehpasaran graduan, kemampanan kewangan, pengurangan jejak karbon serta pemerkasaan komuniti berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Turut diperkukuh, kebajikan pelajar dan kesaksamaan jantina, agenda kebajikan pelajar melalui pelaksanaan Menu Rahmah, biasiswa kecerdasan buatan, biasiswa endowmen dan pembangunan Kampung Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU), selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Dalam aspek tadbir urus pula, Mohd Shafry berkata UTM menetapkan sasaran 40 peratus pelantikan jawatan penting universiti dalam kalangan wanita sejajar agenda kesaksamaan jantina nasional.

Justeru, beliau berkata tahun ini menandakan satu titik perubahan penting dalam perjalanan universiti berkenaan dengan penekanan kepada transformasi yang bersifat sistemik dan berasaskan nilai.

Mohd Shafry berkata nilai adab juga yang menjadi asas terkuat dan kerangka keseluruhan tindakan UTM, akan dibingkaikan semula dalam kerangka ISES (Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian) bagi memastikan setiap keputusan universiti berteraskan keadilan dan kebijaksanaan.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang pelaksanaan enVision UTM 2025, universiti berkenaan mencatat pelbagai pencapaian utama termasuk kedudukan ke-153 dunia dalam QS World University Rankings 2026 serta berada dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.

Penjanaan pendapatan universiti juga mencatatkan sebanyak RM357 juta, sementara 34 peratus graduan memperoleh pendapatan premium melebihi RM4,000 sebulan.

"UTM turut melahirkan alumni tersenarai dalam Forbes Asia 30 Under 30, mengukuhkan lagi peranan universiti dalam melahirkan teknokrat dan pemimpin global," katanya.

Mohd Shafry turut menyeru semua warga UTM meliputi staf, pelajar dan alumni bersama-sama dalam menjayakan pelan strategik yang digagaskan itu.

Terdahulu, majlis perutusan itu turut menyaksikan pengumuman penganjuran UTM Royal Gala Dinner 2026, yang menyasarkan kutipan dana lebih besar bagi menyokong pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berkeperluan khas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan