IPOH, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Perak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha premis perniagaan yang didapati menjual beg plastik sekali guna kepada pelanggan susulan larangan penggunaannya yang berkuat kuasa mulai 1 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata tempoh percubaan selama enam bulan akan diberikan bagi membolehkan pengusaha menyesuaikan operasi masing-masing dengan larangan tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Apabila arahan ini dimuktamadkan, peniaga tidak lagi dibenarkan menjual beg plastik sekali guna. Jika ingin menjual beg kepada pengguna, saya sarankan supaya mereka menawarkan beg kitar semula.
“Mahu atau tidak, langkah ini perlu dilaksanakan. Jika tiada arahan seperti ini, sampai bila kita mahu menunggu? Semua usaha ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap dasar kelestarian alam sekitar serta mengurangkan pencemaran plastik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pengumuman Larangan Pemberian Beg Jinjit Sekali Guna di Aeon Big Falim, di sini, hari ini.
Pada 20 Mac lalu, kerajaan negeri memaklumkan bahawa larangan sepenuhnya penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh Perak, yang sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jan 2026, ditangguhkan ke 1 Mac 2026 bagi memberi tempoh persediaan yang mencukupi kepada penduduk dan pengusaha premis.
Antara lokasi yang terlibat dengan penguatkuasaan larangan tersebut termasuk Hutan Simpan Kekal, Taman Negeri Royal Belum dan Taman Negeri Pulau Sembilan, selain tarikan pelancongan Geopark di Lenggong dan Lembah Kinta, serta premis tetap seperti pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera dan farmasi.
Teh berkata keberkesanan pelaksanaan larangan itu bergantung sepenuhnya kepada tahap pematuhan serta kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
“Di pihak kerajaan, kita berusaha memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi kesan positif kepada masyarakat. Namun, untuk menjadikannya sebagai amalan dan budaya, ia memerlukan komitmen serta tanggungjawab bersama masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial