AM

Yayasan TM Bantu Lebih 3,000 Mangsa Banjir

24/01/2026 04:24 PM

TANAH MERAH, 24 Jan (Bernama) -- Yayasan Telekom Malaysia (TM) telah menyampaikan pelbagai bantuan kepada lebih 3,000 mangsa di negeri terjejas banjir dengan peruntukan RM500,000 menerusi Program Bantuan Pasca Bencana Monsun Timur Laut 2025/2026.

Pengarah Yayasan TM Ainol Shaharina Sahar berkata antara bantuan ialah menerusi program 'Back to School' kepada pelajar serta bantuan lain mengikut keperluan mangsa banjir di Kelantan, Perlis, Pahang dan Terengganu.

"Bantuan ini bagi mengurangkan beban mangsa banjir khususnya penerima daripada golongan asnaf untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak mereka dan keperluan lain," katanya yang ditemui selepas program bantuan berkenaan di Kampung Bukit Gading di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 302 individu menerima bantuan terdiri daripada golongan asnaf dan pelajar sekolah rendah serta menengah yang terjejas banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas serta Tanah Merah.

Antara barangan diterima ialah beg sekolah, alat tulis, kit kebersihan dan baucer barangan keperluan seragam sekolah bernilai RM100.

Seorang penerima, Yusof Ramli, 44, dari Kampung Nibong, Bukit Bunga berkata bantuan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya untuk menyediakan kelengkapan sekolah dua anak berusia 12 dan lapan tahun.

Buruh binaan itu berkata dia memiliki pendapatan sebanyak RM900 sebulan manakala isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai ayam proses berpendapatan RM500 sebulan.

"Seorang anak memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM250 untuk kelengkapan seragam sekolah, tidak termasuk yuran dan kelengkapan lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan