POLITIK

PRK Lamag: 10.57 Peratus Selesai Mengundi Setakat 9 Pagi - SPR

24/01/2026 10:48 AM

KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Sebanyak 10.57 peratus atau 1,429 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag setakat 9 pagi ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Mengikut pecahan daerah mengundi, Lamag mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi, iaitu 21.79 peratus, diikuti Balat (21.07 peratus), Buang Sayang (11.93 peratus), Bukit Garam (10.70 peratus), Kota Kinabatangan (9.57 peratus) dan Usaha Jaya (7.23 peratus).

Kesemua sembilan pusat mengundi yang mengandungi 30 tempat mengundi atau saluran itu dibuka pada 7.30 pagi tadi, membolehkan 13,515 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang dan akan ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

Proses pengundian setakat ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi PRK itu melebihi 65 peratus.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, iaitu di Dewan Sri Lamag di sini dan keputusan rasmi dijangka diumumkan seawal 10 malam.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan