EKONOMI

CIMB Dinaik Taraf Kepada AAA Dalam MSCI ESG Ratings Susulan Pengukuhan Amalan Kemampanan

22/01/2026 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Penarafan CIMB Group Holdings Bhd dinaik taraf daripada AA kepada AAA dalam MSCI ESG Ratings, iaitu penarafan tertinggi yang mencerminkan pengukuhan amalan dan pendedahan kemampanan terutamanya dalam teras perlindungan pengguna dan pengurusan tenaga kerja.

CIMB juga mengekalkan skor alam sekitar yang kukuh pada paras 9.2, membuktikan pengurusan risiko alam sekitar yang berdisiplin dalam proses penaja jamin kreditnya.

MSCI ESG Ratings menilai sejauh mana syarikat mengurus risiko dan peluang dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) khususnya kepada industri masing-masing yang berpotensi menjejaskan prestasi kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Novan Amirudin berkata pencapaian CIMB itu baru-baru ini mencerminkan usahanya untuk menerapkan kemampanan dengan lebih mendalam ke dalam operasi teras, memastikan rangka kerja asas menjadi sebahagian daripada proses ketika membuat keputusan harian.

“Pendekatan ini adalah penting dalam strategi Forward30 kami, di mana kemampanan tidak dianggap sebagai agenda tersendiri, tetapi sebagai pemacu utama kepada cara kami berkembang dan memberikan impak,” katanya dalam satu kenyataan.

CIMB juga menduduki tempat pertama di peringkat global dalam kalangan institusi kewangan menerusi Penanda Aras Sistem Kewangan 2025 oleh World Benchmarking Alliance (WBA), serta meraih kedudukan kedua di peringkat global untuk Keterangkuman Kewangan.

Penanda Aras Sistem Kewangan WBA menilai sejauh mana 400 institusi kewangan paling berpengaruh di dunia sedang mengubah sistem kewangan ke arah masa depan yang lebih adil dan mampan.

Selain penarafan luaran, tumpuan CIMB adalah untuk menyokong dan membolehkan pelanggannya yang mengharungi peralihan ke arah ekonomi yang lebih mampan.

Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menggerakkan pembiayaan mampan berjumlah RM300 bilion menjelang 2030, kumpulan itu sedang mempergiatkan usaha bagi membantu pelanggan mengurus risiko peralihan dan merebut peluang yang berkaitan dengan penyahkarbonan dan penyelesaian secara positif alam semula jadi.

CIMB juga berhasrat untuk menghubungkan perniagaan dengan penyedia penyelesaian penyahkarbonan yang boleh dipercayai dan memberi insentif kepada kemajuan melalui pembiayaan berasaskan kemampanan yang terikat dengan hasil yang boleh diukur.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan