JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas PTD Dan Isteri Akan Didakwa Esok, Bekas PAT Pada Jumaat

21/01/2026 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, berhubung kes pengubahan wang haram, esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan Hafizuddeain dan Salwani, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Menurut SPRM, bekas pegawai tertinggi ATM berumur 58 tahun itu akan turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat ini manakala isterinya akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta serupa di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Sementara itu, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaafar akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat ini, dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ia susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“SPRM juga ingin memaklumkan bahawa siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya,” menurut SPRM.

SPRM turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Menerusi Ops Parasit, SPRM pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Sementara itu pada Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di TKAT dan Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan