EKONOMI

Harga MSM Kekal Dalam Julat Kecil RM4,000 Hingga RM4,300 Satu Tan Pada Februari - MPOC

21/01/2026 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjurkan kekal dalam julat kecil antara RM4,000 satu tan hingga RM4,300 satu tan pada Februari berikutan paras stok dan penyusutan pengeluaran secara bermusim, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Dalam kenyataan pada Rabu, MPOC menjelaskan kenaikan kukuh harga minyak sawit dan minyak sayuran lain yang berterusan memerlukan sama ada pelaksanaan mandat biodiesel B45 Indonesia secara berperingkat, pemulihan harga minyak mentah atau kejelasan mengenai dasar biobahan api Amerika Syarikat yang meningkatkan permintaan minyak kacang soya.

“Harga MSM kekal kukuh di atas RM4,000 satu tan sepanjang Januari walaupun menghadapi beberapa cabaran asas, dan menunjukkan paras harga ini membentuk tingkat struktur jangka masa pendek dengan risiko negatif yang terhad.

“Ketidaktentuan dasar biodiesel Indonesia juga telah reda susulan penjelasan bahawa program biodiesel B50 akan ditangguhkan berikutan kaitan harga semasa antara minyak sawit dengan minyak gas,” tambahnya.

MPOC memaklumkan perhatian pasaran kini kembali tertumpu kepada teras asas iaitu pengeluaran, prestasi eksport dan paras stok memandangkan naratif biodiesel B50 diketepikan buat sementara waktu.

Susulan itu, permintaan import global terhadap minyak sawit dijangka mengukuh sekali gus berpotensi mengatasi permintaan minyak kacang soya pada suku pertama 2026, jelasnya.

“Walaupun kelebihan harga minyak sawit jelas, permintaan import India terhadap minyak sawit masih belum pulih sepenuhnya, berkemungkinan disebabkan kelemahan nilai rupee India berbanding ringgit baru-baru ini.

“Keadaan ini sewajarnya dilihat sebagai sementara memandangkan akhirnya India perlu mengimport minyak sawit tanpa mengambil kira pergerakan mata wang, berikutan daya saing kos strukturnya,” menurut MPOC.

Selain itu, pengumuman Indonesia untuk meningkatkan levi eksport MSM kepada 12.5 peratus bermula 1 Mac, 2026 dijangka meningkatkan penguasaan pasaran minyak sawit Malaysia di India seterusnya menyumbang kepada pengurangan stok minyak sawit domestik.

“Faktor bermusim juga dijangka menyokong harga. Tempoh dagangan singkat pada Februari dan beberapa hari cuti umum seperti Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan, berkemungkinan menjejaskan produktiviti penuaian dan mengehadkan bekalan dalam jangka masa terdekat,” menurut MPOC.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan