EKONOMI

Maybank Lancar Pelan Strategi ROAR30, Sasar ROE 13 Hingga 14 Peratus Menjelang 2030 

20/01/2026 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Maybank menyasar untuk mencatatkan pulangan atas ekuiti (ROE) yang lebih kukuh pada 13 hingga 14 peratus menjelang 2030, yang tertinggi dalam kalangan bank Malaysia, berlandaskan pelan strategi baharu lima tahun ROAR30.

Presiden dan  Ketua Pegawai Kumpulan, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata penambahbaikan dalam metrik utama lain termasuk pencapaian margin faedah bersih (NIM) melebihi 2.05 peratus, nisbah kos kepada pendapatan kurang daripada 47 peratus, serta nisbah akaun semasa dan simpanan (CASA) melebihi 41 peratus.

“Susulan selesainya M25+, ROAR30 mengukuhkan lagi tujuan Maybank dengan memberi tumpuan kepada penyampaian nilai kepada pemegang saham melalui penambahbaikan berterusan ROE.

“Kini masa berlandaskan ROAR30 untuk melonjakkan pertumbuhan dengan membangunkan perniagaan kami pada skala yang lebih besar memandangkan kita menyasar untuk memanfaatkan kepentingan ASEAN yang semakin meningkat,” katanya pada taklimat media sempena pelancaran ROAR30 di sini, hari ini.

Beliau berkata Tonggak Strategik 1 ROAR30 yang berteraskan perkhidmatan menginsankan kewangan melalui tawaran berasaskan nilai yang akan mewujudkan hasil bermakna kepada pelanggan, komuniti dan ekonomi.

Bank itu menyasar untuk menggerakkan pembiayaan mampan bernilai RM300 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM156.32 bilion yang telah digerakkan dalam tempoh sembilan bulan 2025 berlandaskan M25+.

Khairussaleh berkata Maybank juga berada di landasan untuk mencapai neutral karbon menjelang 2030 dan sifar bersih menjelang 2050, susulan pengurangan sebanyak 57.7 peratus bagi pelepasan skop satu dan dua yang direkodkan setakat sembilan bulan 2025.

“Bagi sasaran pembiayaan mampan RM300 bilion menjelang 2030, kami mahu memberi impak positif kepada tiga juta orang dalam tempoh lima tahun akan datang, berbanding hanya dua juta ketika M25 dan M25+ dilaksanakan.

“Dalam tempoh itu juga, kami komited untuk menggandakan dana yang disalurkan bagi pembiayaan sosial untuk sektor mampu milik, gadai janji, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sebagainya, daripada asas RM12 bilion pada 2024,” katanya.

Khairussaleh berkata bank itu juga komited untuk meningkatkan pembiayaan pemerkasaan sosial sehingga RM100 juta setahun menjelang 2030 daripada kira-kira RM60 juta pada sembilan bulan 2025, yang memberi impak kepada lebih satu juta orang.

Selain itu, Maybank juga komited untuk meningkatkan pembiayaan PKS kepada RM100 bilion daripada kira-kira RM60 bilion yang direkodkan pada September 2025.

Maybank juga sedia maklum mengenai dasar kerajaan yang telah diumumkan berkaitan peralihan ke arah sifar bersih, ekonomi dan perkhidmatan digital, infrastruktur teknologi, pembuatan termaju dan berteknologi tinggi, semuanya adalah sektor dan industri yang dikelaskan sebagai ekonomi baharu.

“Kami komited untuk menyalurkan RM100 bilion bagi sektor-sektor ini.

“Perlu diingat RM100 bilion ini bukan sekadar pinjaman semata-mata. Ia merangkumi instrumen pasaran modal serta hutang, ekuiti, perlindungan insurans dan juga pengurusan aset kami,” katanya.

Beralih kepada tonggak pertengahan yang memfokuskan pembinaan perniagaan pada skala besar, Maybank menumpukan kepada empat perniagaan utama, iaitu kewangan Islam global terkemuka, pengurusan kekayaan serantau terkemuka, bank transaksi dan pembayaran serantau terkemuka, serta bank pelaburan korporat serantau terkemuka, berasaskan kedudukan kukuh sedia ada.

“Kami yakin dengan rangkaian dan pengalaman yang dimiliki setakat ini, kami mampu memperkukuh perniagaan kami di peringkat serantau, sekurang-kurangnya, dan juga di peringkat global khususnya dalam kewangan Islam,” katanya.

Khairussaleh berkata Maybank menyasar untuk menjadi antara lima pengurus kekayaan utama ASEAN dan pengurus kekayaan terbesar di Malaysia.

“Sekali lagi, idea utamanya adalah memanfaatkan kelebihan kami, menyediakan pendekatan pelanggan tunggal bagi keperluan kekayaan dan perniagaan mereka. Kami mempunyai kepakaran kekayaan Islam yang kukuh dan diiktiraf di peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan