KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) -- Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag tamat selepas pusat pengundian awal ditutup pada 5 petang ini.
Proses pengundian yang bermula pada 8 pagi itu berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan di sini, membabitkan seramai 189 anggota polis.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 89.42 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan 89.89 peratus bagi PRK DUN Lamag setakat 3 petang ini.
Proses pengundian berlangsung dalam keadaan cuaca baik.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlah Harun dan dua calon bagi PRK DUN Lamag masing-masing dari Barisan Nasional (BN) Mohd Ismail Ayob serta Warisan Mazliwati Abdul Malek hadir bagi meninjau perjalanan proses pengundian di pusat berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Ravi Duraisamy, proses pengundian awal itu berjalan lancar.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dan Mazliwati.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Parlimen Kinabatangan mempunyai sebanyak 48,722 pengundi berdaftar manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran akan digunakan pada hari pengundian, Sabtu ini.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bagi notis PRK itu kesemua pusat mengundi akan dibuka dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang, kecuali 25 pusat mengundi di tiga DUN iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau, ditutup seawal 12 tengah hari hingga 5 petang.
Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag ialah Dewan Sri Lamag manakala SPR menjangkakan keputusan rasmi kedua-dua PRK berkenaan pada 10 malam Sabtu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial