DUNIA

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

20/01/2026 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih dalam persekitaran sentimen serantau yang bercampur-campur.

Pada jam 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 9.17 mata kepada 1,703.16 daripada 1,712.33 ketika ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka 1.31 mata lebih rendah kepada 1,711.02 sebelum bergerak antara 1,699.40 dan 1,711.02 sepanjang sesi pagi.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 608 berbanding 290, manakala 517 kaunter tidak berubah, 1,252 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.64 bilion unit bernilai RM1.25 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun KLCI lemah, aliran masuk dana asing yang sihat dijangka menyokong FBM Small Cap.

“Paling ketara, minat dagangan mula tertumpu kepada Inta Bina Group Bhd dengan jumlah dagangan terus meningkat melebihi purata 20 hari; nilai perolehan syarikat yang besar dan penilaian harga menarik memberikan daya tarikan tambahan kepada pelabur.

“Sementara itu, projek diperoleh MN Holding Bhd baru-baru ini juga dijangka memperkukuh kedudukan syarikat ini dalam strategi pick-and-shovel terutamanya dalam rantaian nilai pusat data,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pick-and-shovel bermaksud strategi pelaburan, contohnya anda tidak perlu melabur dalam syarikat yang menghasilkan produk akhir, sebaliknya anda melabur dalam syarikat yang menyediakan peralatan, perkhidmatan dan infrastruktur diperlukan untuk menghasilkan produk tersebut.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank turun enam sen masing-masing kepada RM11.10 dan RM4.74, CIMB Group merosot 11 sen kepada RM8.26 dan Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM13.78, manakala IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM8.42.

Bagi saham aktif, penampilan pertama SBS Nexus di Pasaran ACE merosot satu kepada 24 sen, IJM berkurangan 11 sen kepada RM2.54, SMRT susut setengah sen kepada 18 sen dan Zetrix AI tidak berubah pada 80.5 sen, manakala Capital A naik tiga sen kepada 53.5 sen.

Saham paling untung menyaksikan Time Dotcom melonjak 15 sen kepada RM5.70, Infomina menambah 12 sen kepada RM1.54, Westports Holdings lebih tinggi sembilan sen pada RM6, K.Seng Seng Cop naik lapan sen kepada 89 sen dan LPI Capital meningkat 10 sen kepada RM15.30.

Antara saham paling rugi, Hong Leong Financial dan Hong Leong Bank merosot 66 sen masing-masing kepada RM23.64 dan RM20.92, United Plantations dan Nestle turun 30 sen masing-masing kepada RM30.90 dan RM115.70, manakala Fraser & Neave Holdings menguncup 20 sen kepada RM35.80.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 65.44 mata kepada 12,546.10, Indeks FBMT Top 100 berkurangan 66.72 mata kepada 12,340.12 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 30.19 mata kepada 12,201.50.

Indeks FBM Mid 70 pula merosot 95.73 mata kepada 17,427.03 manakala Indeks FBM ACE menguncup 32.64 mata kepada 4,902.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 271.60 mata kepada 20,543.54, Indeks Tenaga berkurangan 3.60 mata kepada 773.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.84 mata kepada 173.94, manakala Indeks Perladangan berkurangan 17.09 mata kepada 8,334.34.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan