AM

i-CGPA 2.0 Akan Diperkenal Semula, Dijangka Diguna Sepenuhnya Di IPT Pada 2028

20/01/2026 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Sistem Purata Nilai Gred Karakter (i-CGPA) 2.0 akan diperkenalkan semula dan diperkasakan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata sistem itu bertujuan menilai perkembangan pelajar secara menyeluruh, merangkumi pencapaian akademik, kemahiran insaniah, etika serta nilai diri, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang seimbang, berintegriti dan berdaya saing.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan pelaksanaan sistem ini di seluruh universiti awam dengan penggunaan sepenuhnya menjelang 2028,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang ingin mengetahui sama ada KPT bercadang memperkenalkan Indeks Kesejahteraan Pelajar dan Graduan bagi mengukur adab, akhlak, literasi emosi serta kesihatan mental di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Adam Adli berkata RPTM 2026–2035 dirangka bagi melonjakkan agenda transformasi pendidikan tinggi negara agar kekal relevan, berdaya saing serta responsif terhadap tuntutan dunia yang semakin dinamik dan mencabar.

Beliau berkata menerusi Lonjakan Satu, iaitu pembelajaran berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan dan bersifat adaptif, KPT memberi penekanan terhadap pembangunan holistik pelajar.

“Penekanan ini melangkaui kecemerlangan akademik semata-mata dengan merangkumi pembentukan adab dan akhlak, literasi emosi serta kesejahteraan mental,” katanya.

Adam Adli berkata ketika ini, penilaian Indeks Kesejahteraan Mahasiswa dilaksanakan secara berstruktur dan berterusan oleh universiti awam melalui mekanisme penilaian institusi selaras dengan kerangka tadbir urus masing-masing.

“Sebagai contoh, Student WellBeing Index (StiDEX) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang memperincikan lima komposit, 17 elemen, 43 indikator dan 63 item secara bersepadu sebagai indikator numerik kepada aspek kebajikan dan sahsiah pelajar,” katanya.

Dalam aspek kesihatan mental, beliau berkata pengukuran dilaksanakan secara menyeluruh melalui Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPSI) sebagai instrumen teras.

“Seiring dengan itu, pusat kaunseling di universiti awam sentiasa memperkukuh pemantauan tahap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi pelajar secara berkala dan sistematik melalui penggunaan instrumen penilaian yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa seperti DASS21 serta profil psikometri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan