GEORGE TOWN, 19 Jan (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang memaklumkan Jalan Kenyalang 1 melibatkan lorong sisi di Bayan Lepas dekat sini ditutup selama enam hari bermula hari ini berikutan kewujudan lubang benam yang berlaku di kawasan itu.
JKR Pulau Pinang memaklumkan jalan itu ditutup sehingga 25 Jan atas faktor keselamatan kepada pengguna.
“Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya di kawasan itu diminta memberi kerjasama sepanjang penutupan jalan ini dan hati-hati memandu, rancang perjalanan serta patuhi arahan pihak berwajib,” menurut kenyataan di Facebook hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan Awam dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari ketika dihubungi Bernama berkata lubang benam itu dikesan 9.30 pagi tadi dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
“Kejadian lubang benam itu melibatkan panjang 2 meter (m) dengan lebar juga 2 m dan kedalaman kira-kira 1.7 m, setakat ini jalan utama tidak terjejas cuma melibatkan penutupan lorong sisi.
“Pihak berkenaan telah mengambil tindakan awalan iaitu pemasangan pengadang plastik untuk menutup jalan di kedua arah dan tindakan pengorekan lubang benam diambil bagi mengenal pasti punca sebenar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial