AM

'Yob Kinding' Berpotensi Jadi Induk Pembiakan - Perhilitan

19/01/2026 05:49 PM

IPOH, 19 Jan (Bernama) -- Harimau belang jantan berusia dua tahun yang ditangkap di Bukit Kinding pada 11 Jan lepas, berpotensi dijadikan induk pembiakan dalam usaha memulihara spesies dengan nama saintifik Panthera tigris jacksoni itu daripada ancaman kepupusan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata haiwan pemangsa yang dinamakan sebagai ‘Yob Kinding’ itu kini ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai bagi tujuan pemantauan serta rawatan lanjut.

“Seekor harimau belang jantan lazimnya mencapai kematangan seksual pada usia lima tahun. Ia antara tempoh usia yang sesuai untuk haiwan pemangsa ini dijadikan sebagai induk pembiakan.

“Cuma, proses lanjut atau indikator lain berhubung potensi pembiakan ‘Yob Kinding’ akan diteliti oleh pihak NWRC,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 11 Jan lepas, ‘Yob Kinding’ yang dianggarkan seberat 75 kilogram itu berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap dipasang Perhilitan Perak di sebuah kebun durian di kawasan Bukit Kinding.

Sementara itu, Yusoff ketika mengulas perkembangan terkini ‘Yob Kinding’ berkata harimau belang itu sedang dirawat dan dipantau secara berterusan sejak dipindahkan ke NWRC Sungkai.

“Pemantauan berterusan akan terus dijalankan secara menyeluruh bagi menilai dan memastikan tahap kesihatan harimau itu berada dalam keadaan baik,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan