JENAYAH & MAHKAMAH

72 Individu Ditahan Terlibat Judi Sabung Ayam Dalam Kebun Haram

19/01/2026 03:00 PM

SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) -- Polis menahan 72 individu berusia 20 hingga 70 tahun kerana terlibat dengan aktiviti perjudian sabung ayam dan bola golek, menerusi serbuah di kawasan kebun haram berdekatan Pangsapuri Bayu Perdana, Klang kira-kira 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dalam serbuan menerusi Op Cakar itu, pihaknya menahan dua lelaki yang bertindak sebagai penganjur dan 70 orang pemain yang terdiri daripada 41 warga tempatan dan 31 bukan warganegara yang sedang leka berjudi di lokasi berkenaan.

“Serbuan kendalian Bahagian D7 (siasatan am, kongsi gelap dan perjudian) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor itu mendapati, sindiket berkenaan telah beroperasi selama enam bulan dengan menjadikan kawasan kebun haram yang terselindung sebagai lokasi perlawanan pada setiap Ahad.

“Operasi tersebut turut menyita wang tunai berjumlah RM55,075 serta pelbagai peralatan perjudian selain Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor yang turut menyertai operasi itu, menemukan 14 ekor ayam hidup serta empat ekor ayam yang telah mati dipercayai akibat aktiviti sabung ayam,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Shazeli berkata siasatan lanjut mendapati, nilai pertaruhan bagi setiap perlawanan sabung ayam di situ mampu mencecah sehingga RM10,000.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditangkap, kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam masa sama, Shazeli menegaskan bahawa operasi sedemikian akan dipertingkatkan bagi membanteras perjudian haram.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah digesa segera tampil menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti di negeri ini terus terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan