JENAYAH & MAHKAMAH

Makmal Mini Dadah Tertumpu Di Bandar, Felda Bukan Tapak Operasi

18/01/2026 04:27 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 18 Jan (Bernama) -- Polis Johor mengesahkan tiada kewujudan makmal mini (mini lab) pemprosesan dadah berskala besar di kawasan Felda atau luar bandar di negeri itu, sekali gus menolak tanggapan kawasan-kawasan berkenaan menjadi tapak operasi makmal dadah terancang. 

Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata dalam konteks PDRM, tafsiran mini lab merujuk kepada makmal pemprosesan dadah yang tersusun dan beroperasi secara terancang serta berskala besar, bukan sekadar aktiviti pembungkusan kecil-kecilan di rumah persendirian.

Beliau berkata terdapat kes penagih yang mengambil kesempatan untuk memproses dadah dalam peket kecil dan menjualnya dalam kuantiti kecil untuk kegunaan sendiri serta menampung keperluan ketagihan mereka.

“Ada dalam kalangan mereka-mereka ini di kawasan Felda yang mengambil kesempatan ini adalah daripada golongan penagih sendiri dan menjualnya dalam kuantiti kecil untuk menampung balik keperluan dadah mereka sendiri. Itu kita tidak bolehlah kata itu sebagai satu mini lab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual di Bernama Mobile Studio mengenai topik ‘Jerat Halusinasi: Antara Penjara dan Jalan Pemulihan’ di Felda Bukit Waha sempena Program FELDA: Desaku Mendunia ‘Generasi Sihat Komuniti Hebat’ anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan MCPF.

Beliau berkata kebanyakan penagih di kawasan luar bandar seperti Felda dikesan menggunakan dadah konvensional seperti ganja atau heroin manakala penggunaan dadah sintetik seperti syabu dan methamphetamine pula banyak tertumpu di kawasan bandar termasuk pusat hiburan.

“Di Felda, ada juga mereka (penagih) menggunakan dadah sintetik seperti methamphetamine dan syabu, tetapi ia masih terkawal dan kurang penggunaannya,” katanya.

Ab Rahaman bagaimanapun mengakui kewujudan makmal mini di kawasan bandar, yang memproses dadah dalam skala besar membabitkan sindiket terancang yang menggunakan rumah dan apartmen sewaan sebagai lokasi memproses serta mengedar bahan terlarang itu.

“Sindiket itu bukan sahaja menyasarkan pasaran domestik, malah pasaran antarabangsa termasuk negara jiran selain turut dikesan memproses dadah di makmal, sama ada dalam skala kecil atau besar, katanya. 

Ab Rahaman berkata pihaknya serius membanteras kegiatan itu dengan menumpaskan ratusan sindiket dadah tahun lepas, apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merekodkan rampasan dadah mencecah RM176.33 juta.

Rampasan itu meliputi 544.31 kilogram (kg) syabu, 147.78 kg heroin, 169.39 kg ganja dan 1,464.72 kg serbuk ekstasi.

Sehubungan dengan itu, Polis Johor memberi amaran kepada sindiket dan penjual dadah di negeri supaya menghentikan segera aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah, sambil menegaskan agensi itu tidak akan berkompromi sama sekali dalam isu itu. 

Beliau berkata pihaknya akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara menyeluruh tahun ini dengan meningkatkan tahap risikan dan operasi di seluruh negeri bagi memastikan kegiatan itu tidak terus berkembang.

Temu bual berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Jenayah dan Pemulihan Berkaitan Dadah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Datuk Kamarudin Md Ali sempena program Program FELDA: Desaku Mendunia ‘Generasi Sihat Komuniti Hebat’ anjuran bersama AADK dan MCPF.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan