EKONOMI

SumiSaujana Rancang Pelbagaikan Operasi Ke Dalam Industri Bahan Kimia Khusus Berasaskan Bio

18/01/2026 01:22 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA SELANGOR, 18 Jan (Bernama) -- SumiSaujana Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya SumiSaujana TCM Chemicals Sdn Bhd (SSTCM), merancang untuk mempelbagaikan lagi operasinya ke dalam industri bahan kimia khusus berasaskan bio tahun ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasinya Ramli Mohamad berkata ini dilakukan dengan memanfaatkan keupayaan terasnya dalam menghasilkan bahan kimia dan aditif khusus yang siap dirumus dan dibuat khas.

Beliau berkata syarikat itu telah memulakan usaha tersebut pada Disember 2025 melalui kerjasama dengan Zhangjiagang CoolisT Life Technology Co Ltd (CoolisT Group) untuk membangunkan bersama-sama dan mengkomersialkan poliol berasaskan bio yang diperoleh daripada minyak sayuran boleh diperbaharui untuk digunakan dalam busa poliuretana bagi produk perabot dan cadar CoolisT Group.

“Kami sedang memasuki sektor biopolimer, dengan memberi tumpuan kepada produk terbiodegradasi. Di peringkat global, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang bahan toksik yang boleh menyebabkan masalah kesihatan.

“Jadi pelanggan beralih kepada bahan mentah yang diperbuat daripada bahan terbiodegradasi dan di situlah kami berhasrat untuk membekalkan lebih banyak bahan terbiodegradasi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ramli berkata produk kimia SSTCM, kebanyakannya terdiri daripada bendalir penggerudian, disediakan kepada pelbagai sektor dalam industri minyak dan gas, meliputi operasi huluan, pertengahan dan hiliran.

Justeru, katanya, kepelbagaian ini tepat pada masanya untuk syarikat mempercepat penggunaan penyelesaian mampan global yang menyediakan bahan kimia berasaskan bio mengikut piawaian alam sekitar dan prestasi antarabangsa.

Selain itu, selaras dengan pengembangan pusat data di Malaysia, SSTCM sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan penyelesaian kimia khusus yang mampan untuk aplikasi penyejukan pusat data, yang bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan keamatan karbon, katanya.

Beliau berkata daripada jumlah RM74.4 juta yang dikumpulkan daripada tawaran awam permulaan (IPO)  SumiSaujana Group tahun lepas, RM7.6 juta diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan yang akan menyokong kepelbagaian syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE itu kepada bahan kimia terbiodegradasi tahun ini.

Mengenai prospek pada masa depan, Ramli berkata syarikat itu akan menumpukan pada pengukuhan operasi dalaman sambil memastikan pasaran sedia ada kekal terjamin.

"Hasil kekal stabil tetapi margin menjadi kecil disebabkan oleh ketidakpastian geopolitik, jadi mengekalkan kedudukan pasaran kami adalah sangat penting," katanya, sambil menambah syarikat itu sedang mengambil langkah untuk terus berdaya tahan dan mengukuhkan semua aspek operasinya.

Pengilang bahan kimia khusus minyak dan gas itu yang beroperasi sejak 2010, telah berjaya meletakkan syarikat tersebut di pasaran antarabangsa utama, dengan lebih 70 peratus daripada pendapatannya dijana dari luar negara.

Pada Jumaat lepas, harga saham SumiSaujana turun setengah sen kepada 11 sen dengan 329,700 saham diniagakan pada penutup dagangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan