EKONOMI

Perjanjian Antara Aeroline-Corus KLCC Tamat Dengan Penutupan Hotel

18/01/2026 10:45 AM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Selepas 23 tahun menjalinkan kerjasama, akhirnya perkongsian antara Aeroline dan Hotel Corus KLCC menuju ke tarikh penamatnya. 

Hotel yang jaraknya terletak hanya 10 minit berjalan kaki dari Menara Berkembar Petronas, akan menamatkan operasinya hari ini. 

Malayan United Industries Bhd telah menjual hotel dan tanah seluas 1.46 ekar itu kepada Kumpulan Mah Sing pada harga RM260 juta. 

Dengan itu, tamatlah perjanjian eksklusif selama 23 tahun antara hotel dan syarikat bas tersebut. 

“Acara hari ini ialah mengenai hubungan unik dan jarang berlaku di tempat lain. 

“Ia merupakan hubungan sinergi antara Aeroline dan pemilik hotel, Kumpulan MUI.

“Hubungan strategik ini telah bertahan begitu lama dan kami hanya berharap ia dapat diteruskan,” kata Ketua Pengawai Operasi Zulco Sdn Bhd Law Cheok Gheen kepada Bernama selepas acara ‘Journey to Family: A Chapter Written Together’ di Hotel Corus semalam. 

Menurut Law, beliau mengurus dan mengendalikan 22 buah bas Aeroline. 

Beliau berkata, kerajaan memberi Zulco tempoh moratorium sehingga 18 Feb, 2026 tetapi hotel itu akan menamatkan operasinya hari ini. 

“Kami telah memohon kepada kerajaan untuk melanjutkan tempoh moratorium bagi membolehkan proses peralihan berjalan lancar dengan penutupan hotel,” kata Law sambil menambah buat sementara waktu Aeroline akan menggunakan kedai barang kemas CERES sebagai lokasi menurun/mengambil penumpang. 

Law berkata sebelum ini Zulco beroperasi dari Pudu Raya dan ia hanyalah salah satu pengendali bas pada tahun 1990-an. 

Mengulas lanjut, katanya, perkhidmatan bas mewah dari Kuala Lumpur ke Singapura itu kemudiannya beroperasi dari Hotel Corus KLCC di Jalan Ampang. 

Jelasnya, perniagaan itu perlu mencari lokasi mengambil/menurunkan penumpang yang sesuai, sekali gus menjadi situasi yang saling menguntungkan kepada syarikat bas, kerana penumpang yang kebanyakannya adalah pelancong, memerlukan penginapan dan hotel. 

“Hubungan antara Aeroline-Corus berjaya membantu menjual 7,000 malam bilik setiap tahun selama bertahun-tahun hasil daripada 4.7 juta penumpang yang menggunakan hab bas Corus KLCC ini, tidak termasuk pada tahun pandemik COVID-19,” kata Law. 

Menurut Law, seperti rakan sejawatnya di seluruh dunia, syarikat bas dan sektor hospitaliti sangat terjejas ketika COVID-19 melanda pada 2020 dan 2021, tetapi pengurusan Hotel Corus terus menyokong syarikatnya. 

“Kami menjadi sebuah keluarga. Ketika itulah kami sedar bahawa adalah mungkin untuk mempunyai keluarga di luar keluarga kami,” kata Law. 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Mui Pel Loh berkata daripada 4.7 juta penumpang yang menggunakan hab bas mini hotel itu, secara puratanya 20 peratus menginap di hotel tersebut. 

“Kerjasama antara Corus-Aeroline ini ternyata sangat memudahkan penumpang dan tetamu hotel.

“Ia merupakan satu formula yang berjaya bagi Zulco, Corus dan tetamu kami,” kata Loh. 

Bagaimanapun, menurut Loh, pada awalnya Kumpulan MUI agak ragu-ragu dengan kerjasama itu. 

“Tetapi selepas bertemu dengan pihak pengurusan, kami membuat keputusan untuk memberi mereka peluang. 

“Maskotnya, iaitu seorang lelaki berpakaian eksekutif sedang berlari sambil membawa beg bimbit, memberikan makna yang sangat tersirat.

“Dan seperti yang diwar-warkan, mereka membawa konsep ini dari segi perkhidmatan yang berkualiti, produk yang selesa dan masa yang sempurna serta perkhidmatan yang telah dicontohi oleh orang lain. 

“Orang yang menerbangkan pesawat dipanggil kapten, dan Aeroline memanggil pemandu mereka sebagai kapten bas. 

“Hari ini, perkhidmatan lain telah mencontohi konsep ini.

“Dan mereka menghantar tetamu mereka ke depan pintu kami dengan sembilan ketibaan/pelepasan setiap hari tujuh hari seminggu,” kata Loh. 

Oleh itu, dengan penutupan hotel tersebut hari ini, bermulalah babak baharu bagi Aeroline dan kakitangan Hotel Corus. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan