JENAYAH & MAHKAMAH

217 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Di Dua Pusat Beli-belah

17/01/2026 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Sebanyak 217 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi di dua pusat beli-belah yang menjadi tumpuan di ibu negara dan Ampang hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Lokman Effendi Ramli berkata operasi selama tiga jam pusat beli-belah di Pudu dan Ampang Jaya itu melibatkan 120 anggota dan pegawai JIM bersama 13 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata dalam operasi di Pudu, 652 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu 65 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Di lokasi kedua sebanyak 394 warga asing diperiksa dan 152 daripadanya ditahan atas kesalahan sama," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi berkenaan.

Lokman Effendi berkata semua yang ditahan berusia 21 hingga 63 tahun, terdiri daripada 55 lelaki dan 162 wanita.

Beliau berkata warga asing yang ditahan terdiri daripada 89 warga Myanmar, Indonesia (60), Filipina (51), India (lima), Nepal (lima), Bangladesh (tiga), Pakistan (dua) dan masing-masing seorang daripada Nigeria dan Jerman.

Katanya, semua yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Beranang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Lokman Effendi berkata bermula 1 hingga 15 Jan lepas,  pihaknya telah menjalankan sebanyak 504 operasi di seluruh negara dan menahan 1,759 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Turut ditahan 35 orang majikan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan