EKONOMI

HDC, MARA, RISDA Meterai MoU, MoC Perkukuh Ekosistem Industri Halal Negara

16/01/2026 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Halal Development Bhd (HDC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan usahawan, khususnya usahawan wanita dalam ekosistem industri halal negara. 

Selain itu HDC juga memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk memperkasa pembangunan industri halal dalam kalangan usahawan dan komuniti luar bandar.

Majlis pertukaran MoU dan Moc itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis tersebut diadakan sempena Ekspo Agri Komoditi - Women in Halal Industry (WHI) 2026 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini,

Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi  Datuk Seri Noraini Ahmad selaku Peneraju program WHI, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi RISDA Manndzri Nasib. 

HDC dalam satu kenyataan berkata MoU itu bertujuan untuk memperkasa pembangunan usahawan Halal melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang merangkumi aspek pembangunan kapasiti, pemerkasaan keusahawanan, latihan kemahiran, pensijilan Halal, akses pasaran dan sokongan pembiayaan, dengan penekanan khusus kepada penglibatan wanita dalam industri Halal.

Pemangku Pengerusi HDC Datuk Azhari Shaari berkata kerjasama itu selari dengan peranan HDC sebagai agensi peneraju industri Halal negara. 

"MoU ini mencerminkan komitmen berterusan HDC dalam memperluas ekosistem Halal yang inklusif dan mampan, serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan wanita untuk berkembang dan bersaing di peringkat domestik dan global," katanya. 

Sementara itu, MoC bersama RISDA pula bertujuan untuk meneroka peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang, antaranya pembangunan kapasiti usahawan, peningkatan pematuhan halal, pemerkasaan rantaian nilai serta penglibatan komuniti luar bandar dalam ekosistem industri halal nasional.

"Melalui MoC ini, HDC akan memanfaatkan kepakaran dan peranannya sebagai agensi peneraju pembangunan industri halal negara bagi menyokong inisiatif RISDA dalam memperkasa pekebun kecil dan usahawan di bawah seliaannya.

“Pada masa yang sama, RISDA akan berperanan sebagai rakan strategik dalam memperluaskan capaian program pembangunan halal kepada komuniti akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar," kata HDC.

Menurutnya, kerjasama itu juga selari dengan aspirasi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang menekankan pembangunan industri halal yang berdaya saing, berimpak tinggi dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan