POLITIK

Komuniti Cina Mahu Isu Setempat Di Kinabatangan Diselesaikan Wakil Rakyat Baharu

16/01/2026 06:20 PM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KINABATANGAN, 16 Jan (Bernama) -- Komuniti Cina di Parlimen Kinabatangan menyuarakan harapan agar wakil rakyat baharu yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini benar-benar memahami dan mendengar denyut nadi penduduk setempat, khususnya dalam menangani isu infrastruktur jalan raya, kemudahan pendidikan bahasa Cina serta keperluan seorang pemimpin yang menetap dan bersama komuniti.

Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Kinabatangan Lai Siew On, 52, berkata meskipun jumlah pengundi Cina di kawasan itu tidak besar, komuniti berkenaan sentiasa memainkan peranan penting serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.

Sebagai ahli perniagaan yang telah beroperasi di Kinabatangan lebih 20 tahun, beliau menegaskan masalah jalan raya rosak bukan sekadar menyusahkan penduduk, malah menjejaskan kelancaran perhubungan dan operasi logistik perniagaan harian.

“Kami tidak meminta yang berlebihan, tetapi amat berharap isu kerosakan jalan raya di sini dapat diselesaikan oleh wakil rakyat baharu,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Selain infrastruktur, Lai turut menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan pendidikan anak-anak komuniti Cina di kawasan itu yang terpaksa berulang-alik ke Sandakan semata-mata bagi mengikuti pembelajaran formal bahasa ibunda.

“Kalau boleh, kami mohon sekurang-kurangnya seorang guru untuk mengajar bahasa Cina. Semua kaum di sini juga berminat belajar. Satu kelas pun sudah memadai, asalkan anak-anak tidak terus tercicir,” katanya.

Sementara itu, peniaga perkakasan, Chan Yuk Vui, 43, berkata keadaan jalan yang rosak memberi tekanan besar kepada peniaga kecil yang bergantung kepada penghantaran barangan secara harian.

“Empat tayar lori saya rosak akibat batu-batu tajam di jalan. Banyak masa dan wang terbuang kerana masalah yang sama dan saya mahu ia diselesaikan,” katanya yang telah menetap hampir 22 tahun di kawasan itu.

Bekas pengurus ladang estet, Simon Lo Vui Kiong, 58, berkata pembangunan pekan Kinabatangan perlu diberi perhatian serius supaya penduduk tidak terus bergantung kepada bandar lain bagi mendapatkan keperluan asas.

“Jika kemudahan perniagaan di sini lebih lengkap, penduduk tidak perlu pergi jauh. Ada kalanya untuk membeli peralatan sukan pun terpaksa ke Sandakan,” katanya.

Lo menegaskan bahawa dalam membuat pilihan pada PRK kali ini, beliau tidak menilai calon berdasarkan parti semata, sebaliknya komitmen mereka untuk turun padang secara konsisten dan mengambil tindakan terhadap semua permasalahan rakyat.

“Saya tidak kira parti apa. Yang kami mahu ialah calon yang sentiasa ada, yang mendengar dan bertindak...bukan hanya muncul semasa pilihan raya sahaja,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

PRK Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN) ditentang dua pencabar iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan manakala 20 Jan sebagai undi awal.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan