AM

Pertanian Bandar, Kebun Komuniti Selangor Berpotensi Kukuhkan Sekuriti Makanan

16/01/2026 11:54 AM

SHAH ALAM, 16 Jan (Bernama) -- Selangor terus memperkukuh usaha meningkatkan sekuriti makanan negeri menerusi pengembangan pertanian bandar dan kebun komuniti, yang kini dilihat sebagai antara pendekatan berkesan menangani kos sara hidup serta kesejahteraan masyarakat bandar.

Setakat tahun lepas, sebanyak 391 kebun komuniti berdaftar diwujudkan di Selangor dan dipantau pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Pertanian Selangor, dengan 86 peratus daripadanya terletak di kawasan bandar, mencerminkan potensi besar pertanian bandar di negeri paling urban di negara ini.

Pemegang Kursi Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Datin Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata walaupun amalan pertanian bandar di Malaysia masih belum meluas dan kekurangan data komprehensif, inisiatif yang dilaksanakan di Selangor menunjukkan impak positif terhadap keterjaminan makanan komuniti setempat.

Beliau berkata kebun komuniti di kawasan bandar Selangor bukan sahaja membolehkan penduduk menghasilkan makanan sendiri, malah turut membantu mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan kesedaran terhadap pemakanan sihat dan kelestarian alam sekitar.

“Pertanian bandar mampu meningkatkan keterjaminan dan keselamatan makanan, selain membolehkan hasil tanaman digunakan sendiri atau dikongsi dalam komuniti setempat.

“Melalui kebun komuniti, penduduk daripada pelbagai latar belakang etnik dan usia di Selangor dapat bekerjasama, berkongsi ilmu serta membina kepercayaan antara satu sama lain, sekali gus memupuk semangat perpaduan dan rasa kekitaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam jangka panjang, Fatimah berkata pertanian bandar di Selangor berpotensi menjadi penyumbang signifikan kepada sekuriti makanan negeri sekiranya dilaksanakan secara lebih meluas dan disokong teknologi moden seperti pertanian menegak, rumah hijau pintar dan sistem akuaponik.

Beliau berkata negeri yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti Selangor amat sesuai memanfaatkan pendekatan berkenaan, sebagaimana diamalkan di negara maju yang berjaya menjadi lebih mandiri dalam pembekalan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Industri Asas Tani Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Seri Intan Mokhtar berkata pembangunan kebun bandar di Selangor merupakan inisiatif strategik untuk memastikan akses kepada makanan yang selamat dan sihat, khususnya bagi komuniti bandar.

Beliau berkata walaupun kebun komuniti ketika ini masih berskala kecil, potensinya sangat besar sekiranya dirancang secara sistematik dan disokong dasar yang jelas.

“Kebun bandar boleh meningkatkan tahap sekuriti makanan di Selangor dengan menggalakkan pengeluaran makanan secara tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada bekalan luar serta isu logistik,” katanya.

Usaha itu selari dengan pendirian kerajaan negeri apabila Exco Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim, sebelum ini memaklumkan bahawa Selangor sedang memperluas program kebun komuniti sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh keselamatan makanan.

Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang memberikan tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan makanan daripada peringkat benih dan pembiakan sehingga pemasaran, selain meningkatkan produktiviti dan pendapatan sektor pertanian negeri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan