DUNIA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Disokong Aktiviti Pembelian Saham Berharga Rendah

15/01/2026 06:45 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Aktiviti membeli saham berharga rendah di kaunter perkhidmatan kewangan berwajaran tinggi telah menyokong indeks utama Bursa Malaysia pulih daripada penurunan sebelumnya dan melonjak ke ke paras tertinggi intra harinya, hari ini. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.25 mata, atau 0.25 peratus, kepada 1,715.16 daripada paras penutup 1,710.91 pada Rabu.

Indeks itu melepasi paras tertingginya sebelum ini iaitu pada 1,713.45 yang dicatatkan pada 27 Februari 2019.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.56 mata kepada 1,710.35 dan susut ke paras terendah intra harinya pada 1,701.83 semasa awal dagangan, sebelum meningkat semula menjelang sesi penutup dagangan.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 583 berbanding 503, manakala 562 kaunter tidak berubah, 990 tidak diniagakan dan 21 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.25 bilion unit bernilai RM3.32 bilion daripada 3.11 bilion unit bernilai RM3.19 bilion pada Rabu.

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata FBM KLCI meneruskan aliran meningkatnya bagi sesi kelima berturut-turut apabila para pelabur terus melabur dana meskipun peningkatan ketegangan geopolitik.

"Minat belian yang berterusan mencerminkan keyakinan terhadap pendapatan dan makroekonomi Malaysia, diperkukuh oleh aliran masuk bersih pelabur asing selama empat hari berturut-turut dari 9 hingga 14 Januari.

“Corak ini menunjukkan bahawa Malaysia semakin dianggap sebagai pasaran bagi pelaburan teras portfolio pelabur dan bukannya pelaburan jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM11.10, Public Bank menambah lapan sen kepada RM4.75, CIMB dan Tenaga Nasional naik 10 sen masing-masing kepada RM8.45 dan RM13.92, manakala IHH turun dua sen kepada RM8.43.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, V.S. Industry dan Zetrix AI turun setengah sen masing-masing kepada 48 sen dan 82.5 sen, Capital A susut 1.5 sen kepada 53 sen, Northeast Group berkurangan 11.5 sen kepada 59.5 sen, manakala Tanco naik satu sen kepada RM1.24.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 90 sen kepada RM33.70, Hong Leong Bank naik 52 sen kepada RM24.0, Westports melonjak 48 sen kepada RM6.12, Hong Leong Financial mengukuh 40 sen kepada RM20.82, dan Mi Technovation menambah 19 sen kepada RM3.39.

Dalam kalangan saham paling rugi, Nestle turun RM2.50 kepada RM116.0, United Plantations susut 52 sen kepada RM32.98, Fraser & Neave berkurangan 36 sen kepada RM36.0, Petronas Dagangan menyusut 30 sen kepada RM20.70, dan Batu Kawan merosot 26 sen kepada RM20.02.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 30.17 mata kepada 12,656.64, Indeks FBM Top 100 menambah 36.27 mata kepada 12,450.02, manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 20.52 mata kepada 12,327.06.

Indeks FBM Mid 70 meningkat 76.03 mata kepada 17,685.55 manakala Indeks FBM ACE susut 19.99 mata kepada 4,965.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 220.18 mata kepada 20,704.28, Indeks Tenaga susut 3.19 mata kepada 786.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.10 mata kepada 174.73, manakala Indeks Perladangan berkurangan 79.67 mata kepada 8,449.03.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun sedikit kepada 1.71 bilion unit bernilai RM2.98 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM2.92 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.12 bilion unit bernilai RM168.64 juta daripada 846.90 juta unit bernilai RM114.84 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 411.93 juta unit bernilai RM168.62 juta daripada 501.47 juta unit bernilai RM156.13 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 275.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (301.12 juta), pembinaan (155.19 juta), teknologi (293.79 juta), perkhidmatan kewangan (141.59 juta), hartanah (190.43 juta), perladangan (41.48 juta), amanah pelaburan hartanah (19.95 juta), dana tertutup (82,000), tenaga (93.18 juta), penjagaan kesihatan (99.27 juta), telekomunikasi dan media (26.41 juta), pengangkutan dan logistik (41.42 juta), utiliti (32.60 juta), dan amanah perniagaan (93,900).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan