PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Mekanisme Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA) kini berada pada peringkat akhir penelitian di Jabatan Peguam Negara dan dijangka dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat, bagi memperkukuh kaedah pemulihan aset negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata usaha mempercepat pewujudan akta berkaitan DPA adalah penting, kerana negara memerlukan mekanisme yang lebih efektif untuk mendapatkan kembali aset daripada pihak yang melakukan kesalahan jenayah, khususnya berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.
“Isu DPA pada peringkat Peguam Negara sekarang, yang saya percaya pada peringkat akhir. Saya memang nak akta ini cepat mungkin dibawa ke Parlimen, paling tidak pada sesi penggal kedua untuk dibentangkan di Parlimen untuk mendapat keputusan daripada ahli Parlimen.
“Ia penting, kerana kita perlu bergerak ke hadapan dalam hal kita mempunyai kaedah yang lebih baik untuk membuat mendapatkan kembali aset daripada penjenayah,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Azam berkata proses pemulihan aset melalui DPA, hanya terpakai kepada pihak yang melakukan kesalahan jenayah dan bukan kepada urusan perniagaan biasa seperti kutipan cukai.
“Pemulihan semula aset di bawah DPA ini, melibatkan mereka melakukan kesalahan, bukan ordinary business macam kita kutip cukai dan sebagainya.
“Ini melibatkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka di luar sana yang menyalahi undang-undang jenayah negara, termasuklah undang-undang jenayah rasuah, penggubahan wang haram dan lain-lain jenayah lain di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), di bawah alam sekitar dan sebagainya,” katanya.
Mengulas contoh pelaksanaan DPA, Azam menjelaskan bahawa syarikat yang melakukan pencemaran alam sekitar perlu bertanggungjawab untuk memulihkan kawasan terjejas menggunakan kos mereka sendiri, membayar pampasan kepada mangsa serta membayar penalti kepada kerajaan dalam satu penyelesaian yang dipersetujui bersama Peguam Negara.
“Kalau contohnya satu kes melibatkan pencemaran alam sekitar, satu undang-undang jenayah, kalau ada DPA ini, antara kebaikannya ialah syarikat berkenaan kena bertanggungjawab, pertama untuk memulihkan sungai berkenaan dengan kos mereka.
“Yang kedua, mereka kena juga membayar pampasan kepada mereka yang mengalami kecederaan dalam isu pencemaran berkenaan dan mereka perlu membayar penalti kepada kerajaan dengan satu penyelesaian yang dipersetujui antara pihak Peguam Negara dan juga pihak yang membuat kesalahan,” katanya.
Azam berkata mekanisme itu membolehkan pendakwaan dilakukan namun ditangguhkan apabila satu penyelesaian dipersetujui, termasuk pemulihan aset yang kemudian boleh dikembalikan kepada kerajaan.
“Maknanya ada pendakwaan boleh dijalankan tetapi ditangguhkan dengan penyesaian yang tertentu, yang akhirnya ada juga pemulihan aset yang dibuat untuk dikembalikan kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan terhadap seorang bekas menteri, Azam berkata siasatan masih berjalan dan memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan.
“Kes itu masih berjalan dan pegawai saya perlukan sedikit masa, mungkin satu atau dua minggu dari sekarang untuk menyiapkan siasatan,” katanya.
Pada 13 Jan, Azam dilapor berkata SPRM masih menjalankan siasatan terhadap seorang bekas menteri disyaki menerima suapan kira-kira RM5 juta serta kereta mewah membabitkan projek iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Bagaimanapun Azam berkata pihaknya tidak boleh mendedahkan lagi identiti bekas menteri itu mahupun butiran lanjut berkaitan siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial