AM

Lebih 11,000 Kes Tangkapan Ular Direkodkan Di Kelantan Tahun Lepas - APM

15/01/2026 05:12 PM

KOTA BHARU, 15 Jan (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berjaya mengendalikan sebanyak 11,641 kes tangkapan ular sepanjang tahun lepas.

Timbalan Pengarah APM Kelantan Lt Kol (PA) Mohd Farid Ishak berkata jajahan Kota Bharu merekodkan jumlah tangkapan ular tertinggi, iaitu 5,327 kes, diikuti Bachok (2,914 kes) dan Machang (2,749 kes).

"Kita terima sebanyak 25,218 kes panggilan kecemasan dan jumlah ini termasuk panggilan melibatkan kehadiran reptilia (ular) itu di kawasan kediaman dan tempat awam.

"Semua ular yang ditangkap diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan bagi tindakan lanjut termasuk pelepasan semula mengikut prosedur ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farid berkata APM Kelantan turut mengendalikan 6,554 kes memusnahkan sarang serangga, 2,934 kes menangkap haiwan liar dan 1,256 kes melibatkan pesakit atau orang sakit.

Beliau berkata 849 kes lagi yang dikendalikan APM negeri tahun lepas melibatkan kejadian pokok tumbang, diikuti 532 kes kemalangan jalan raya dan 399 kes membabitkan haiwan peliharaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan situasi melibatkan haiwan berbahaya, sebaliknya segera menghubungi talian kecemasan APM.

"Tindakan sendiri boleh mendatangkan bahaya kerana orang ramai tidak mempunyai peralatan keselamatan secukupnya. Haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking kebiasaannya akan memasuki kediaman terutama selepas banjir," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan