AM

PERKESO Perkasa Ekosistem Perlindungan Pekerja Melalui Pendigitalan – Ramanan

15/01/2026 02:31 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedang mempergiat usaha membangunkan ekosistem perlindungan dan kebajikan pekerja yang lebih menyeluruh melalui pendigitalan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), sejajar sasaran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan.

Beliau berkata usaha berkenaan merangkumi pewujudan satu hab atau platform bersepadu bagi memudahkan urusan kira-kira 17 juta tenaga kerja di negara ini, melibatkan aspek perlindungan sosial, latihan kemahiran, caruman serta pengendalian pelbagai isu berkaitan pekerja.

“KESUMA mempunyai tanggungjawab besar kerana kita menjaga keseluruhan tenaga kerja negara. Justeru, memang menjadi sasaran utama kami tahun ini untuk memperkukuh aspek pendigitalan.

“Kami benar-benar berharap usaha ini dapat direalisasikan demi menyediakan satu ekosistem yang komprehensif dan berkualiti kepada para pekerja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baharu KESUMA 2026 di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang akan dilaksanakan secara berfasa tahun ini turut menjadi antara fokus utama kementerian, khususnya bagi menangani cabaran yang dihadapi pekerja gig.

“Pendekatan yang diambil adalah untuk memahami realiti di lapangan serta mencari kaedah terbaik bagi memudahkan proses pekerjaan dan perlindungan sosial golongan ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Akta 872 telah diwartakan pada 31 Dis 2025, selepas memperoleh Perkenan Diraja pada 16 Dis 2025. Akta tersebut dijangka memberi perlindungan kepada kira-kira 1.2 juta pekerja gig di negara ini.

Menyentuh hala tuju lain, Ramanan berkata KESUMA kini sedang merangka Dasar Sumber Manusia Negara (DSMN) 2026–2030, yang akan menjadi panduan utama dalam menyelaraskan dasar berkaitan kemahiran, perburuhan, perhubungan perusahaan serta perlindungan sosial.

Beliau berkata reformasi melibatkan 26 undang-undang turut dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan kerangka perundangan kekal relevan, adil dan berkesan, selaras dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Undang-undang di bawah KESUMA mesti menjamin keselamatan, kebajikan serta sokongan menyeluruh kepada setiap pekerja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata KESUMA akan terus mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama mobiliti sosial dan laluan arus perdana, dengan sasaran mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030, selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Ramanan menegaskan penyampaian perkhidmatan KESUMA akan terus diperkasakan agar menjadi antara yang terbaik, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan