Oleh Noorazlina Jindeh
KOTA KINABALU, 15 Jan (Bernama) -- Peserta Mama Jahit dari Rumah (Mama JaRum) bukan sahaja berpeluang meningkatkan pendapatan malah berupaya mendalami pelbagai corak etnik unik daripada suku kaum di Sabah.
Projek Mama JaRum adalah Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI) yang diterajui SME Corporation Malaysia (SME Corp), dan ia menyediakan latihan kemahiran menjahit motif etnik Sabah kepada golongan wanita di negeri itu.
Hasil kerja tangan peserta yang dilatih kemudian dipasarkan oleh Chanteek Borneo sekali gus meningkatkan ekonomi kumpulan sasaran.
Bagi Syarifah Majunting Abdullah, 38, yang menyertai Mama JaRum pada April lepas, program itu membolehkannya mengenali corak seperti momogun daripada etnik Rungus yang kaya dengan motif unik.
"Selain itu, Bajau Samah atau Bajau Sama pun ada banyak corak... begitu juga Dusun Suang Lotud bahagian Tuaran," katanya yang juga peserta Mama JaRum kumpulan keempat.
Ibu kepada tiga anak itu yakin hasil kerja tangan mereka di bawah bimbingan Chanteek Borneo mampu memperkenal corak etnik Sabah ke peringkat global sekali gus membuka ruang kerjaya kepada suri rumah sebagai tukang jahit tetap.
Beliau berkata menerusi Projek Perniagaan Inklusif Rekaan Etnik Sabah di bawah Chanteek Borneo, mereka dilatih dari aspek kekemasan dan piawaian jahitan bagi memastikan kualiti produk.
“Sabah mempunyai pelbagai corak etnik yang sangat menarik dan tersendiri yang perlu diketengahkan agar lebih dikenali sepanjang masa,” katanya.
Sementara itu, Yahira @ Mary Martin, 51, ibu tunggal dari Tamparuli yang menyertai bengkel Mama JaRum selama tujuh hari pada 2022, berkata program tersebut telah memberikan pendedahan mendalam kepadanya mengenai kepelbagaian corak etnik di Sabah.
Menceburi bidang jahitan sejak 2009, Yahira menyifatkan penglibatannya dalam Mama JaRum amat bermakna kerana ia membuka peluang untuk mempelajari corak etnik tempatan, malah permintaan daripada pelanggan luar negeri semakin meningkat.
"Di Chanteek Borneo, kami belajar corak etnik-etnik di Sabah seperti Murut, Dusun Lotud dan Rungus," katanya.
Beliau juga menyifatkan dirinya sebagai bertuah kerana meraih pendapatan yang mampu menampung kehidupan seharian.
Rubiah Rubin, 48, peserta kumpulan pertama Mama JaRum, pula berkata tempahan jahitan baju meningkat terutama ketika musim perayaan seperti Pesta Kaamatan, dengan corak etnik Kadazan Dusun antara yang paling digemari.
Sebelum menyertai Mama JaRum, beliau belajar menjahit di sebuah akademi di Tuaran dan menjadi peserta program itu pada 2019 selepas diperkenal oleh seorang rakan.
"Di Chanteek Borneo, kami diajar mengenai kekemasan jahitan tetapi yang paling utama ialah belajar corak etnik pada kain yang dijahit," katanya sambil menambah tempahan jahitan diberi masa dalam seminggu untuk disiapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial