EKONOMI

TNB Memeterai Fasa 2 Perjanjian Penghantaran Tenaga LTMS 2.0

14/01/2026 09:56 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah menandatangani Perjanjian Penghantaran Tenaga tiga pihak fasa dua (EWA fasa 2) di bawah Projek Integrasi Kuasa Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura Fasa Dua (LTMS-PIP 2.0), yang membolehkan penghantaran elektrik dari Lao PDR ke Singapura.

Perjanjian tiga pihak itu dimeterai hari ini antara TNB, Electricité du Laos dan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand.

TNB melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata EWA fasa 2 membolehkan penjualan, penghantaran dan pembelian tenaga elektrik pada sekurang-kurangnya 30 megawatt dari Lao PDR ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia, dengan menggunakan kemudahan sambungan sedia ada negara peserta.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun bermula dari tarikh menandatangani iaitu 14 Jan 2026.

“Peranan TNB di bawah EWA fasa 2 adalah bagi menggerakkan atau menghantar tenaga yang dijana dari Lao PDR ke Singapura, dengan Electricité du Laos membayar caj penghantaran kepada TNB untuk perkhidmatan penghantaran.

"Peraturan ini melengkapkan pelaksanaan penuh LTMS 2.0, bersama-sama dengan Perjanjian Bekalan Tenaga yang dimeterai sebelumnya antara TNB dan Keppel Electric Pte Ltd pada 20 Sept 2024, yang mana, Malaysia turut membekalkan elektrik ke Singapura di bawah rangka kerja LTMS 2.0 yang sama,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan melalui satu kenyataan berasingan berkata EWA fasa 2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memajukan agenda Grid Kuasa ASEAN (APG), menggariskan tadbir urus pelbagai hala dalam kalangan negara anggota ASEAN dan seterusnya mempromosikan perdagangan elektrik rentas sempadan di rantau ini.

Beliau menegaskan, sebagai pemain utama dalam APG, TNB kekal komited untuk meningkatkan keselamatan tenaga serantau sambil menerajui agenda peralihan tenaga.

“Malaysia secara konsisten menegaskan komitmennya bagi mengukuhkan kerjasama tenaga di seluruh rantau.

“Dalam hal ini, TNB akan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dalam memajukan visi landskap tenaga ASEAN yang lebih saling terhubung dan kukuh,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan