KUANTAN, 14 Jan (Bernama) -- Dua pegawai dan lima anggota polis yang ditahan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di Mentakab, Temerloh akan dikenakan tindakan gantung kerja sementara menunggu keputusan perundangan terhadap mereka.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu telah didakwa di mahkamah pada minggu lepas.
"Sedang dalam proses dikenakan tindakan gantung kerja sementara kes mahkamah terhadap semua mereka selesai,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau turut meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kes berkenaan dan memaklumkan tindakan sewajarnya telah diambil kepada mereka yang dipercayai terlibat.
Sebelum ini, media melaporkan dua polis berpangkat Inspektor dan lima anggota berpangkat Koperal serta Lans Koperal ditahan dalam satu serbuan pada 2.15 pagi, 3 Jan lepas.
Hasil saringan awal air kencing turut mendapati seorang pegawai dan lima anggota positif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial