EKONOMI

Capital A Jual 17 Juta Saham AirAsia X Bernilai RM28.05 Juta

14/01/2026 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Capital A Bhd menjual 17 juta saham biasa dalam AirAsia X Bhd (AAX) melalui urus niaga perniagaan langsung dengan pertimbangan tunai sebanyak RM28.05 juta.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata saham-saham berkenaan dijual pada harga tersirat RM1.65 setiap satu.

Ia merupakan harga yang sama ditawarkan oleh AAX kepada pelabur terpilih untuk melanggan saham baharu AAX semasa pelaksanaan tawaran saham persendiriannya.

Selepas penjualan tersebut, pegangan saham Capital A dalam AAX menurun daripada 57.07 juta saham atau 12.77 peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan kepada 40.07 juta saham, mewakili kepentingan ekuiti sebanyak 8.96 peratus.

"Pertimbangan tersebut ditentukan berdasarkan prinsip kesediaan pembeli dan penjual dengan mengambil kira AAX sebelum ini menetapkan dan mengumumkan harga terbitan bagi tawaran saham persendiriannya pada RM1.65 sesaham.

"Urus niaga ini juga dilaksanakan bagi mengurangkan pegangan saham kolektif Capital A dalam AAX kepada kurang daripada 33 peratus sebelum penyelesaian tawaran saham persendirian AAX dan pengagihan sebahagian daripada saham pertimbangan Capital A kepada pemegang saham yang layak," kata syarikat itu.

Capital A menambah penjualan tersebut untuk digunakan bagi keperluan modal kerja syarikat dan anak-anak syarikatnya dalam tempoh 12 bulan bagi membiayai operasi harian termasuk pembayaran hutang dagangan dan hutang lain, kos pekerja selain perbelanjaan pemasaran serta pentadbiran.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan