JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang Maut, Seorang Cedera Dalam Insiden Letupan Kerja Kimpalan

13/01/2026 06:48 PM

MELAKA, 13 Jan (Bernama) -- Lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian letupan melibatkan kerja kimpalan di sebuah premis kitar semula bahan buangan di Taman Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 44 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas melecur 90 peratus.

“Seorang lagi lelaki berusia 32 tahun melecur lima peratus dan telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Hafidzatullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.32 tengah hari sebelum sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata setibanya di tempat kejadian kira-kira enam minit kemudian didapati letupan melibatkan alat kimpalan jenis “Cranking Unit” (CRU) ketika kerja kimpalan sedang dijalankan dalam kawasan premis berkenaan.

“Pasukan Hazmat turut hadir ke lokasi bagi pemantauan dan kawalan gas beracun. Komander pasukan tersebut memaklumkan bacaan pada pengesan gas adalah rendah dan selamat.

“Insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kebakaran kilang dan operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.27 petang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan