AM

Biar Mahkamah Tentukan Permohonan Petronas - Abang Johari

13/01/2026 03:53 PM

KUCHING, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan permohonan Petronas mengenai kerangka kawal selia bagi operasi petroleum di Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata perkara itu melibatkan kedua-dua pihak, iaitu kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, justeru sebarang ulasan tidak sesuai dibuat ketika ini.

“Saya tiada komen. Mereka berkehendakkan direction daripada mahkamah, jadi biarkan mahkamah menentukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Premier Sarawak 2026, di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan langkah Petronas itu sebagai satu perkara biasa bagi mendapatkan kejelasan undang-undang.

Abang Johari berkata pendekatan itu juga selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diamalkan di negara ini.

“Kita tengok bagaimana keputusan mahkamah. Biar mereka tentukan, kita ikutlah rule of law,” katanya.

Menerusi satu kenyataan semalam, Petronas memaklumkan telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Menurut Petronas, pihak responden yang dinamakan ialah kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan Petronas terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik,” menurut syarikat minyak nasional itu.

Permohonan itu tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri ini.

Keputusan memfailkan usul berkenaan dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan semenjak 2024 bersama Petros serta kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan