PASIR MAS, 12 Jan (Bernama) -- Sebanyak 96 lagi jeti haram yang dibina di atas tanah milik kerajaan di sepanjang Sungai Golok dijangka dirobohkan sepenuhnya menjelang Mac ini.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Datuk Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata setakat ini sebanyak 25 jeti haram telah dirobohkan di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.
Beliau berkata secara keseluruhannya terdapat 223 jeti pangkalan haram, namun tumpuan kerajaan adalah merobohkan jeti yang berstruktur.
"Perobohan masih dalam proses secara berperingkat memandangkan jumlah keseluruhan pangkalan haram yang dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok adalah banyak," katanya kepada pemberita di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pok Teh Kana, di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Badrul Shah Mohd Idris meluangkan masa kira-kira tiga jam melakukan lawatan ke Projek Pengambilan Tanah dan Pembinaan Pagar Keselamatan Sempadan Sungai Golok.
Mohd A Aruwan berkata operasi perobohan sebelum ini berjalan lancar hasil kerjasama yang baik antara agensi Persekutuan dan negeri.
"Sepanjang musim Monsun Timur Laut, kerja perobohan terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan dan akan diteruskan semula selepas ini dengan keutamaan kepada perobohan jeti yang dibina di atas tanah milik kerajaan," katanya.
Beliau berkata perbincangan lanjut akan dilakukan melibatkan jeti yang terletak di tanah milik persendirian bagi memastikan proses perobohan dapat dilakukan secara teratur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial